GABUNGAN penularan pantas varian Omicron dan keganasan varian Delta boleh mencetus ‘tsunami’ pandemik jika langkah pencegahan dan kawalan awal tidak diambil, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Amaran ketua pengarah kesihatan itu senada dengan peringatan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mengenai kemungkinan lonjakan kes di seluruh dunia yang disifatkannya ibarat tsunami.
“Saya amat bimbang Omicron, yang lebih mudah berjangkit, menular pada masa yang sama dengan Delta, membawa kepada tsunami kes,” katanya pada sidang dalam talian semalam.
Dr Noor Hsiham menerusi satu catatan di Facebook hari ini berkata langkah pencegahan dan kawalan awal amat penting dalam usaha membendung penularan Covid-19.
“Terkini kes harian semakin meningkat di banyak negara,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, beliau turut memnut naik graf yang memaparkan lonjakan angka harian jangkitan Covid-19 di United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Esok genap dua tahun virus Covid-19 menular di seluruh dunia, sejak mula dikesan di Wuhan, China pada 31 Disember, 2019. Virus itu sehingga kini telah meragut 5.4 juta nyawa. – 30 Disember, 2021.
Komen