MENJELANG pembukaan semula sekolah bulan depan, sekolah yang dilanda banjir meminta dana kepada orang ramai untuk menjalankan kerja membaiki kerana tiada peruntukan diberi Putrajaya, kata bekas menteri pendidikan Teo Nie Ching.
Kerajaan persekutuan mesti segera menyediakan dana dan tidak membiarkan beban itu digalas oleh rakyat, kata ahli parlimen DAP Kulai itu.
“Saya menggesa Kementerian Pendidikan menghulurkan bantuan kepada sekolah dilanda banjir yang memerlukan dana memandangkan tahun persekolahan 2022 akan bermula beberapa hari lagi.
“Pihak sekolah sudah mula meminta bantuan orang ramai dan kerja membaiki dimulakan. Rakyat sudah terbeban dengan banjir, oleh itu dana untuk kos baik pulih mesti datang daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Kulai itu juga menggesa kerajaan menggunakan baki peruntukan 2021 untuk membaiki sekolah vernakular yang rosak teruk di Selangor.
“Masih ada baki RM7.98 juta daripada Belanjawan 2021 yang diperuntukkan untuk sekolah vernakular.
“Saya ingin meminta dana ini disalurkan kepada sekolah vernakular untuk meringankan beban mereka.”
SJKT Pulau Carey Barat, SJKT Dengkil, SJKT Taman Permata, Dengkil, SJKT Ladang Sungai Selangor adalah antara sekolah yang paling memerlukan bantuan, tambahnya.
Sekolah di seluruh negara sepatutnya dibuka semula pada 3 Januari, tetapi kini ditangguhkan selama seminggu kerana banyak diubah menjadi pusat perlindungan sementara atau rosak akibat banjir.
Sekolah dalam kategori A negeri (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) kini akan dibuka semula pada 9 Januari, dan mereka dalam Kategori B pada 10 Januari (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).
Hujan lebat pada hujung minggu 18 Disember menyaksikan paras air naik melebihi paras bumbung di Lembah Klang.
Negeri lain seperti Pahang, Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan turut dilanda banjir.
Ribu orang kehilangan tempat tinggal akibat banjir manakala 48 maut. – 30 Disember, 2021.
Komen