DUA surat Dr Edmund Terence Gomez kepada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) agensi antirasuah tidak menyebut tentang salah laku ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, kata ketua panel Borhan Dollah.
Gomez sebaliknya hanya menyatakan kebimbangannya mengenai SPRM yang dihentam banyak pihak dan mahu panel berbincang mengenai usaha memulihkan imej agensi itu, katanya.
“Saya membalas mengatakan akan mempertimbangkan dahulu perkara itu malah terus berhubung dengan urusetia SPRM untuk mendapat pandangan kerana isu ini di luar bidang kuasa PPPR.
“Tiba-tiba dia meletak jawatan dan membangkitkan isu itu seolah-olah komuniti saya (panel PPPR) tidak ambil kisah mengenai dakwaan salah laku KP SPRM, sedangkan dia membangkitkan perkara lain untuk diadakan mesyuarat dan tidak menyentuh isu yang didakwanya ketika meletak jawatan,” katanya, seperti dipetik BH Online.
Borhan mengulas peletakan jawatan Gomez daripada PPPR selepas mendakwa panel berkenaan tidak mengendahkan laporan yang beliau bangkitkan melibatkan kewibawaan pegawai tinggi SPRM.
Gomez menulis tiga kali kepada Borhan – melalui surat bertarikh 12 dan 26 November, dan yang terakhir, 14 Disember – tetapi mendakwa tidak mendapat maklum balas yang diharapkan daripada ketuanya itu.
Dalam dua surat pertamanya beliau menyebut tentang “konflik kepentingan” melibatkan pegawai tinggi agensi antirasuah serta hubung kait antara perniagaan dan penguatkuasa, susulan laporan portal berita Independent News Service pada 26 Oktober, 2021.
Selepas surat Gomez bertarikh 12 November, Borhan memberi jaminan akan mengatur mesyuarat panel tetapi tiada apa yang berlaku.
Gomez menulis sekali lagi pada 26 November dengan memberikan maklumat tambahan dan langsung tidak mendapat maklum balas daripada Borhan.
Dua minggu selepas membangkitkan sekali lagi perkara sama melalui surat 14 Disember, Gomez meletakkan jawatan semalam.
Semua maklumat ini beliau sebut dalam surat peletakan jawatannya yang dikongsi kepada media.
Borhan yang juga bekas ketua pengarah perkhidmatan awam mendakwa Gomez tidak faham tugas dan peranan sebenar PPPR manakala isu yang dibangkitkannya itu sepatutnya dilapor kepada ketua pengarah perkhidmatan awam.
Beliau juga menyebut saluran lain yang boleh diadu oleh Gomez iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang dipengerusikan oleh Abu Zahar Ujang serta Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Rasuah (JKKMR).
Gomez bagaimanapun turut mendedahkan beliau juga sudah tiga kali menulis perkara sama kepada Abu Zahar tetapi tidak dipeduli.
Awal hari ini, Pejuang menggesa Azam direhatkan daripada tugas sementara sementara siasatan dibuat terhadap dakwaan beliau memiliki saham melebihi jumlah dibenarkan.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang turut menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya bertindak memulakan siasatan terhadap Azam.
Pada 14 Disember, Yang DiPertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menolak usul tergempar yang dikemukakan Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah untuk Dewan Rakyat membahaskan dakwaan melibatkan Azam.
Azam didakwa memiliki saham 4.2 juta saham dalam dua syarikat tersenarai awam.
Sivarasa memetik peraturan perkhidmatan awam yang mengehadkan pemilikan saham oleh penjawat awam, selain peraturan supaya mengisytiharkan harta. – 28 Disember, 2021.
Komen