KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki perlu direhatkan daripada tugas sementara siasatan dibuat terhadap dakwaan beliau memiliki saham melebihi jumlah dibenarkan, kata Pejuang.
Ketua penerangannya Ulya Aqamah Husamudin membuat desakan itu susulan peletakan jawatan ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Dr Edmund Terence Gomez, semalam.
“Inilah satu-satunya cara bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap organisasi itu sekali gus menunjukan wujudnya sistem semak dan imbang yang baik dalam organisasi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ulya, peletakan jawatan Gomez “amat mengejutkan dan membimbangkan”.
“Sikap sambil lewa Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM yang tidak mendesak atau mengadakan mesyuarat terhadap dakwaan kepada ketua SPRM, menimbulkan keraguan dan spekulasi, sekaligus menimbulkan kesangsian terhadap organisasi yang ditugaskan untuk mencegah rasuah,” katanya.
Semalam, Gomez meletak jawatan selepas mendakwa panel berkenaan tidak mengendahkan laporan yang dibangkitkan melibatkan pegawai tinggi SPRM.
Katanya, beliau sudah tiga kali menulis kepada pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Borhan Dollah, menggesa mereka membincangkan “konflik kepentingan” melibatkan pegawai tinggi agensi antirasuah serta hubung kait antara perniagaan dan penguatkuasa.
Tiga suratnya itu – bertarikh 12 dan 26 November, dan yang terakhir, 14 Disember – bagaimanapun tidak diendahkan, biarpun Borhan memberi jaminan akan mengatur mesyuarat.
“Saya tiada pilihan selain meletakkan jawatan dan ini patut dilihat sebagai bantahan terhadap tindakan anda, selaku pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, yang melengahkan untuk mengadakan mesyuarat berhubung isu yang sepatutnya dibincangkan oleh panel ini,” tulis Gomez, dalam surat peletakan jawatannya yang diedar kepada media.
Gomez juga mendedahkan beliau mengajukan perkara sama kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Abu Zahar Ujang. Tiga suratnya itu juga tidak dihiraukan.
Dalam kenyataan Pejuang, Ulya menggesa siasatan segera terhadap Azam bagi mengembalikan nama baik SPRM.
“Tugas utama SPRM adalah utuk membasmi rasuah dan melindungi pemberi maklumat yang mengambil risiko untuk mendedahkan maklumat walaupun salah laku itu berlaku di dalam kelambu sendiri.
“Sekiranya SPRM tidak lagi boleh dipercayai, kepada siapa rakyat harus meletakkan tanggungjawab ini?” katanya.
Awal hari ini, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang turut menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya bertindak memulakan siasatan terhadap Azam.
Pada 14 Disember, Yang DiPertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menolak usul tergempar yang dikemukakan Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah untuk Dewan Rakyat membahaskan dakwaan melibatkan Azam.
Azam didakwa memiliki saham 4.2 juta saham dalam dua syarikat tersenarai awam.
Sivarasa memetik peraturan perkhidmatan awam yang mengehadkan pemilikan saham oleh penjawat awam, selain peraturan supaya mengisytiharkan harta. – 28 Disember, 2021.
Komen