Aktivis bengang Perpustakaan KL larang anak pelarian masuk


Ravin Palanisamy

Pengasas bersama Yayasan Chow Kit Hartini Zainudin kecam tindakan Perpustakaan Kuala Lumpur, kendalian DBKL kerana melarang dua pelarian memasuki premis itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2021.

PENGASAS bersama Yayasan Chow Kit Hartini Zainudin hari ini menerusi Twitter, mengecam tindakan Perpustakaan Kuala Lumpur, yang dikendalikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kerana melarang dua pelajarnya yang juga pelarian memasuki premis itu.

“Perpustakaan DBKL tidak benarkan dua anak pelarian saya masuk untuk membaca. Mereka bukannya mahu pinjam buku, hanya henda baca buku di premis itu. Mereka diberitahu tidak boleh masuk,” katanya di Twitter.

Tweet Hartini dimuat naik pada 10.59pm, dan hantaran itu mencapai 1,000 tanda suka dan 800 tweet semula.

Dipercayai kakitangan perpustakaan menggunakan perkataan “pelarian” terhadap mereka, menjadikan ia alasan untuk tidak dibenarkan masuk.

Hartini menjelaskan perkara itu ketika ditanya pengguna Twitter mengenai sebab mereka tidak dibenarkan masuk.

“Saya tidak tahu. Mereka diberitahu sebabnya mereka pelarian. Beberapa guru akan ke sana esok untuk bertanya,” katanya.

Dalam satu tweet lain, beliau memberikan perkembangan terkini situasi itu, dan berkata jurucakap perpustakaan ada menghubunginya dan memohon maaf berkenaan insiden itu.

“Perkembangan daripada guru kami: Jurucakap baru saja telefon. Mereka nampak tweet itu. Dia minta maaf. Staf perpustakaan tidak sepatutnya guna perkataan pelarian. Okay, permohonaan maaf diterima. Adakah anda akan benarkan mereka masuk?,” katanya di Twitter.

The Malaysian Insight cuba menghubungi DBKL tetapi belum berjaya. – 28 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen