AS kurangkan tempoh pengasingan Covid tanpa gejala


Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat mencadangkan tempoh pengasingan lima hari itu diikuti dengan lima hari memakai pelitup muka apabila berada tempat awam. – Gambar EPA, 28 Disember, 2021.

PIHAK berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengurangkan separuh tempoh pengasingan yang disyorkan untuk orang yang mempunyai jangkitan Covid-19 tanpa gejala daripada 10 kepada lima hari.

Ia dibuat ketika kes sedang melonjak, menyebabkan huru-hara perjalanan dan memberi ancaman kepada sosial.

“Varian Omicron menular dengan pantas dan berpotensi memberi kesan kepada semua aspek masyarakat kita,” kata pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Rochelle Walensky dalam satu kenyataan mengumumkan perubahan itu.

“Kemas kini ini bagi memastikan orang ramai dapat meneruskan kehidupan seharian mereka dengan selamat.”

Cadangan CDC, yang tidak mengikat tetapi diikuti rapat oleh perniagaan dan pembuat dasar AS, berkata tempoh pengasingan lima hari itu “diikuti dengan lima hari memakai pelitup muka apabila berada tempat awam.”

Agensi itu berkata garis panduan baharu itu “didorong oleh sains,” yang telah menunjukkan majoriti penularan Covid-19 berlaku ketika permulaan penyakit, biasanya satu hingga dua hari sebelum permulaan simptom dan dalam dua hingga tiga hari kemudian.

CDC juga mengemas kini pengesyoran untuk individu yang terdedah kepada Covid-19 yang sama ada tidak divaksin atau layak mendapat suntikan penggalak tetapi masih belum mendapatkannya.

Bagi populasi ini, CDC berkata ia “kini mengesyorkan kuarantin selama lima hari diikuti dengan penggunaan pelitup muka yang ketat selama lima hari tambahan” selepas pendedahan.

“Individu yang telah menerima suntikan penggalak mereka tidak perlu dikuarantin selepas pendedahan, tetapi harus memakai pelitup muka selama 10 hari selepas pendedahan,” kata CDC.

Kemas kini datang apabila Omicron telah menyebabkan kes melonjak di seluruh AS, sekali lagi mengganggu kehidupan dan ekonomi global yang dilanda pandemik hampir dua tahun. – AFP, 28 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen