Kepala air punca banjir Hulu Langat, kata MB


Keadaan banjir teruk yang melanda daerah Hulu Langat di Selangor dilihat dari udara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2021.

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari berkata banjir di Hulu Langat berpunca daripada kepala air yang turun dari kawasan pergunungan sekitar.

Amirudin berkata, kepala air itu turut membawa longgokan sampah dan kayu-kayan sehingga ke kawasan Batu 14, Sungai Lui dan sekitarnya.

Beliau juga memaklumkan tidak menerima maklumat pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai antara faktor menyebabkan banjir di kawasan Hulu Langat seperti yang dilaporkan media semalam.

“Yang pastinya daripada maklumat awal yang saya peroleh, saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu (EKVE menjadi punca banjir). Daripada taklimat awal yang saya dapat, ia berpunca daripada kepala air yang jatuh dari kawasan pergunungan sekitar,” katanya pada sidang media khas berhubung perkembangan banjir di Shah Alam, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Amirudin mengakui kerja pembinaan sebatang tiang untuk sebuah projek lebuh raya di kawasan Kampung Asahan, Kuala Selangor, memutuskan sebuah ban di kampung itu lalu menyebabkan air melimpah.

“Saya sendiri datang ke Kuala Selangor dan kita dapati ada satu tiang untuk membina sebuah lebuh raya memotong satu ban di Kampung Asahan.

“Sebab itu air melimpah di Kampung Asahan dan sejak semalam banyak air sudah berjaya dikeluarkan daripada kawasan itu. Insya-Allah akan berlaku penyurutan air yang signifikan,” katanya. – Bernama, 27 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen