Harga buah, makanan laut kering mahal menjelang Tahun Baru Cina


Angie Tan

Sebelum banjir, kuasa berbelanja yang rendah telah pun dijangka berikutan harga barang makanan meningkat akibat rantaian bekalan dan masalah logistik kerana pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2021.

ISI rumah yang sedang bersiap untuk Tahun Baru Cina perlu membayar harga tinggi bagi buah-buahan dan makanan laut kering, serta daging kering serta biskut.

Tahun baru Cina cuma lebih kurang sebulan lagi tetapi peniaga makanan khas ini tidak menjangkakan untung besar, tambahan dengan banjir terburuk baru-baru ini menjadi faktor yang melemahkan perbelanjaan pengguna.

Sebelum banjir, kuasa berbelanja yang lebih rendah telah pun dijangka berikutan harga semua jenis barang makanan meningkat akibat rantaian bekalan dan masalah logistik susulan pandemik Covid-19.

Menurut Presiden Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur Chin Nyuk Moy, pengguna sudah tidak dapat membeli seperti Tahun Baru Cina lepas.

Malah mereka mungkin terpaksa berbelanja lebih 20 hingga 30 peratus untuk jeruk mandarin, katanya.

“Sebagai contoh, tahun lepas sekotak kecil jeruk tangerin dijual pada harga RM10 hingga RM12, tetapi kali ini harganya bermula sekitar RM14 atau RM15.”

Kata Chin, pandemik Covid-19 telah mengubah trend pembelian dan pemberian hadiah, menyatakan syarikat pernah membuat tempahan besar jeruk mandarin untuk diberikan kepada pekerja dan sebagai hadiah korporat, tetapi kini ia sudah tidak popular. 

Sebaliknya, pengguna yang membeli untuk diberikan kepada saudara-mara, tambahnya.

Ini menyebabkan beberapa pengimport buah-buahan mengurangkan pesanan import untuk Tahun Baru Cina akan datang, memilih untuk menjual sedikit bagi mengelakkan kerugian, kata Chin.

Memandangkan banjir baru-baru ini, beliau menjangkakan aktiviti membeli-belah hanya akan bermula dalam dua minggu sebelum Tahun Baru Cina, yang bermula pada 1 Februari. Pada tahun-tahun sebelumnya, membeli-belah untuk tahun baru lunar akan bermula selepas solstis musim sejuk, yang tahun ini jatuh pada 21 Disember.

“Saya ramal pasaran akan sangat sunyi.”

Menurut Presiden Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur Chin Nyuk Moy, pengguna sudah tidak dapat membeli seperti Tahun Baru Cina lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2021.

Syarikat import dan pengedaran makanan laut kering, Soon Thye Hang, mendapati gelombang kenaikan harga semasa disebabkan masalah logistik dan rantaian bekalan, dan kini banjir, sekali gus memberi beban kepada kuasa berbelanja pengguna.

“Kami harap pasaran bertambah baik sekarang, tetapi orang ramai lebih tertumpu kepada bantuan banjir. Kami harap pasaran akan jadi lebih baik tahun depan, tetapi sekarang kami juga tidak pasti,” kata pengarah syarikat Chuah Seong Kok.

Cheah juga berkata harga yang lebih tinggi bagi makanan laut kering, yang merupakan hidangan wajib dalam kebanyakan isi rumah Cina tidak dapat dielakkan. Ini akan menjejaskan kerang dan siput abalon. Cendawan shiitake kering juga akan terjejas.

Kenaikan harga bagi barangan ini dalam lingkungan 10 hingga 30 peratus, katanya.

Tidak seperti peniaga oren mandarin dan buah-buahan, bagaimanapun, Cheah berkata peniaga makanan laut kering mungkin tidak akan kurangkan pesanan pembelian mereka bagi menampung sebarang kekurangan yang tidak dijangka akibat masalah logistik dan pengangkutan.

“Malah tempahan yang kami buat, ada yang belum sampai kerana masalah pengangkutan,” katanya.

Raymond Khue yang syarikatnya memasarkan produk jenama Oloiya berharap perniagaan lebih baik selepas banyak aktiviti ekonomi kini dibuka semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2021.

Daging tempatan, biskut akan naik harga

Satu lagi hidangan istimewa tahun baru lunar yang digemari ramai orang Cina ialah daging barbeku.

Raymond Khue, daripada Khue Brothers Holdings Sdn Bhd yang memasarkan produknya di bawah jenama Oloiya, berkata beliau berharap perniagaan yang lebih baik selepas melihat lebih banyak aktiviti ekonomi dibuka semula dan beberapa sektor runcit meningkat.

“Saya tidak jangka banjir begitu dahsyat. Ini pasti akan jejas perasaan pengguna untuk Tahun Baru Cina,” kata pengarah eksekutif syarikat itu.

Bagaimanapun, beliau berkata Khue Brothers mungkin tidak akan membuat pelarasan harga utama untuk produknya kerana ia menggunakan bahan mentah tempatan.

“Kebanyakan daging babi dibekalkan dalam negara, sesetengah sos akan diimport, tetapi keadaan kami tidak terjejas teruk. Kami belum selaraskan harga kami buat masa ini.”

Pembuat kuih JMM Cookies di Ipoh itu berkata harga bahan mentah naik sedikit, jadi harga runcit barangan bakar mereka akan diselaraskan sekitar RM1 lebih.

“Kami akan cuba kurangkan kos dan mungkin hanya naik RM1 bagi setiap tin biskut atau kek,” kata Helen Wong dari JMM.

Perniagaannya telah bertahan sejak lapan tahun, yang mengkhususkan kepada kuih tahun baharu, kuih nanas dan kuih bijan hitam. Walaupun ada pelanggan, beliau berkata perniagaannya agak perlahan. – 28 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen