MENTERI Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Joseph Kurup bersetuju untuk bertemu keluarga Pastor Raymond Koh yang hilang sejak lebih tiga bulan lalu – mengakhiri tindakan berdiam diri Putrajaya berhubung kes itu selepas tekanan kumpulan persatuan sivil dan Kristian.
Pertemuan itu akan disertai Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia (CCM) Rev Dr Hermen Shastri, yang sebelum ini mengadu Putrajaya hanya diam mengenai kehilangan pastor itu walaupun kebimbangan mereka sudah dibawa kepada Kurup lebih awal.
Kurup memberitahu The Malaysian Insight beliau akan mengeluarkan kenyataan selepas mendengar keluhan keluarga Koh dan CCM.
“Saya mahu berjumpa dengan keluarga itu dan ahli CCM. Saya menggesa mereka membuat temu janji dengan pejabat saya untuk membincangkan kebimbangan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan minggu lalu di mana gereja dan persatuan masyarakat sivil menyelar Putrajaya kerana berdiam diri mengenai kes culik pastor itu.
Laporan itu menyatakan Putrajaya tidak memberi respons kepada surat yang dihantar Majlis Gereja Dunia (WCC), atau menghubungi CCM semula selepas badan Kristian itu mengetengahkan kebimbangan mereka kepada Kurup.
Sebaliknya, polis memanggil tiga aktivis persatuan sivil itu untuk memberi penjelasan mereka mengaitkan Koh dengan tiga lagi yang masih hilang sejak lebih enam bulan lalu, dengan “kehilangan dikuatkuasakan”.
Jurucakap Engage Thomas Fann, Sevan Doraisamy dari Suaram dan Rama Ramanathan dari Bersih dimaklumkan untuk hadir ke Bukit Aman esok.
Mereka bertiga sebahagian daripada Kumpulan Tindakan Rakyat mengenai Kehilangan Dikuatkuasakan (Caged) yang ditubuhkan awal bulan ini untuk mencari jawapan berhubung kehilangan empat aktivis itu.
Mereka akan diwakili peguam dan peguam bela hak asasi manusia Ambiga Sreenevasan yang juga ahli Caged.
Caged menghantar laporan kehilangan Koh kepada Kumpulan Kerja mengenai Kehilangan Dikuatkuasakan atau Tidak Sukarela Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WGEID).
Menurut undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, kehilangan dikuatkuasakan atau paksa berlaku apabila seseorang diculik secara rahsia atau dipenjarakan oleh organisasi negeri atau politik atau pihak ketiga daripada pihak berkuasa.
Sevan yang membantu keluarga itu berkata sudah 100 hari dan masih tidak ada respons mengenai kehilangan pastor itu daripada pihak berkuasa.
“Kami ingin tegaskan lagi yang keluarga itu mencari jawapan dan kami akan terus menyokong dan membantu mereka,” katanya.
Penculikan Koh turut mendapat respons segera daripada masyarakat gereja antarabangsa.
Dalam satu surat terbuka bertarikh 7 Mac kepada Perdana Menteri Najib Razak, Setiausaha Agung WCC Rev Dr Olav Fykse Tveit berkata beliau sangat bimbang mengenai kejadian penculikan itu.
WCC mewakili ikatan antarabangsa lebih 340 gereja dari 110 negara.
Koh, 62, diculik selepas sekumpulan lelaki terlatih berhenti menahan kereta Honda Accord perak beliau di Jalan SS4B/10 di Petaling Jaya.
Rakaman CCTV penculikan Koh viral di media sosial, menunjukkan ia dilakukan penculik profesional yang melibatkan lebih 10 lelaki dalam tiga SUV hitam.
Joshua seorang pastor berketurunan Melayu dan isterinya Ruth hilang pada 30 November, 201 sementara Amir Che Mat hilang pada malam 24 November tahun lalu selepas memberitahu anak perempuan sulungnya yang dia hendak keluar. – 23 Mei, 2017.
Komen