PAKATAN Harapan (PH) lebih mementingkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang terjejas akibat banjir daripada memikirkan untuk memenangi pilihan raya negeri di Johor, kata pengerusi gabungan itu Anwar Ibrahim.
“Sekarang ini kita sedang menghadapi banjir (krisis). Pandemik Covid-19 belum berakhir. Jadi, mengapa kita perlu memberi lebih beban kepada rakyat?” kata ketua pembangkang itu kepada pemberita di Ampangan, Seremban hari ini.
Beliau merujuk kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Shamsul Anuar Nasarah bahawa PH tidak mahu pilihan raya negeri di Johor diadakan kerana bimbang mengalami kekalahan sekali lagi.
Kekalahan itu merujuk kepada prestasi buruk PH dalam kedua-dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak.
“Saya minta pertimbangan Tuanku Sultan (Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar) dan kerajaan negeri supaya memikirkan kebaikan, kepentingan, kehidupan, kesihatan dan keselamatan rakyat,” kata Anwar.
“Itu pandangan beliau (Shamsul) dan tafsirannya, tetapi persoalannya sekarang, adakah ini masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya? Menang atau kalah kita serahkan kepada rakyat.
“Tetapi kini menjadi tanggungjawab bersama kerajaan, pembangkang dan semua untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat,” katanya.
Barisan Nasional (BN) kini mentadbir kerajaan negeri Johor dengan majoriti satu kerusi selepas Adun Kempas Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.
Semalam, PH Johor dalam satu kenyataan bersama berkata, mereka menentang sebarang perebutan kuasa dan komited untuk meringankan beban rakyat yang terjejas akibat banjir.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Liew Chin Tong dari DAP, Syed Ibrahim Syed Noh dari PKR dan Aminolhuda Hassan dari Amanah. – 27 Disember, 2021.
Komen