TANGGUHKAN projek besar di Malaysia dan gunakan dana itu untuk memberi bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berkata ia berikutan kerajaan tidak berhasrat membenarkan mereka yang dilanda banjir membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat masa ini.
Beliau berkata Putrajaya mesti berusaha untuk meringankan beban mangsa.
“Jika wang KWSP dikatakan tidak perlu, maka peruntukan kerajaan itu perlu.
“Jika tanya saya, sebenarnya tak perlu keluarkan duit dari KWSP kerana seseorang itu mungkin dalam keadaan susah dan simpanan pun terhad. Dalam keadaan malapetaka sebegini, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meringankan beban mereka.
“Jadi, bantuan RM1,000 itu, kemungkinan besar akan habis mereka gunakan untuk makan dalam masa seminggu atau dua. Selepas itu, apabila mereka senaraikan inventori untuk dibeli, barulah mereka tahu kos kerugian asas. Itu mesti ditanggung oleh kerajaan.
“Saya tidak mahu sebut angka. Mungkin ada yang perlukan RM10,000, ada RM5,000, ada RM6,000.
“Jadi, tangguhkan projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Digital Nasional Bhd (DNB), yang bernilai berbilion-bilion. Tangguh dan bayar rakyat dahulu,” kata Anwar kepada pemberita selepas melawat Ampangan, Seremban yang dilanda banjir, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri berkata kerajaan pada masa ini tidak berhasrat untuk membenarkan mereka yang dilanda banjir membuat pengeluaran KWSP di bawah skim i-Citra.
Bagaimanapun, Bank Simpanan Nasional (BSN) kini akan menyediakan kemudahan pembiayaan peribadi tanpa faedah sehingga RM10,000 kepada mangsa banjir, berbanding RM5,000 yang diumumkan minggu lalu.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan itu untuk meringankan beban mangsa banjir.
Anwar mengakui pinjaman tanpa faedah yang diberikan namun berkata pinjaman bertujuan untuk dibayar balik, yang mana dakwanya akan menyusahkan mangsa banjir.
“Ya, mereka memberi kemudahan pinjaman.
“Pinjaman ini, bagi seorang yang miskin, akan memberi kesan yang teruk kepadanya,” katanya. – 27 Disember, 2021.
Komen