ATM nafi trak PBB terbabit misi bantuan banjir


Affendi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang berita palsu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2021.

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menafikan pembabitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam misi bantuan banjir di negara ini susulan sebuah video yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Panglima ATM, Affendi Buang berkata, video berdurasi satu minit yang dikongsikan dua individu pada 24 dan 7 Disember lalu di laman sosial itu memaparkan pergerakan beberapa trak tiga tan berlogokan United Nations (UN) berwarna putih.

Menurut beliau, dua individu itu turut berkongsi teks dengan mempersoalkan kemunculan trak UN di negara ini dan mendakwa pertubuhan antarabangsa itu membawa masuk bantuan banjir ke Malaysia.

“Paparan video itu adalah proses Final Acceptance Test (FAT) yang dilaksanakan ATM sebelum kenderaan itu diatur gerak ke Lubnan untuk kegunaan kontinjen Malbatt 850 yang melaksanakan misi pengaman di bawah United Nations Interim Force in Lebanon (Unifil).

“Kami menafikan video berdurasi satu minit yang tular di media sosial itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang perkara tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu didapati menyebarkan berita palsu dan boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. – Bernama, 27 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen