Bantuan kewangan akan diagih ke rumah, kata MB Selangor


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pegawai negeri akan ditugaskan untuk mengagihkan bantuan kewangan RM1,000 dari rumah ke rumah untuk mangsa banjir.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2021.

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari berkata pegawai negeri akan ditugaskan untuk mengagihkan bantuan kewangan RM1,000 bagi setiap isi rumah yang terjejas akibat banjir mulai Rabu.

Dalam sidang media hari ini, Amirudin menjelaskan keluarga yang terjejas akan menerima sekurang-kurangnya RM1,000 daripada kerajaan negeri, dan mereka tidak perlu membuat laporan polis.

“Kami mengkategorikan mangsa kepada dua, iaitu yang mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan dan mereka yang tinggal di rumah.

“Pegawai negeri akan pergi dari rumah ke rumah untuk membuat pendaftaran dan mengagihkan bantuan kewangan,” tambahnya.

Amirudin juga berkata Selangor juga akan mengenal pasti keluarga mangsa yang terkorban dalam banjir supaya mereka boleh menerima pampasan negeri.

“Setiap keluarga mereka yang maut dalam banjir akan menerima RM10,000 seperti yang diumumkan pada 23 Disember.

“Selain itu, kami juga bersetuju membatalkan sambutan akhir tahun dan akan menggantikan majlis tersebut dengan tahlil dan bacaan doa.

“Masjid, surau, dan rumah ibadat lain dialu-alukan untuk menganjurkan aktiviti keagamaan sendiri,” katanya.

Amirudin turut menasihatkan syarikat swasta serta individu agar membatalkan rancangan mereka untuk menyambut tahun baharu.

“Saya harap kita sekurang-kurangnya dapat menunjukkan sedikit rasa hormat kepada mereka yang ditimpa tragedi ini dengan membatalkan sambutan tahun baharu,” katanya.

Selangor terjejas teruk akibat banjir hujung minggu lalu, menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal. Banyak perniagaan turut terjejas akibat banjir. – 27 Disember, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen