Labuan kembali ke zon kuning


Labuan kembali ke zon kuning susulan program kawalan sistematik dan program rumah bebas Covid-19 yang dijalankan jabatan kesihatan negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember 2021.

LABUAN, pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia kembali ke zon kuning Covid-19 berkuat kuasa hari ini, selepas penurunan ketara kes baharu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata penurunan status dari zon merah (pada 26 November) adalah berikutan program kawalan sistematik dan program rumah bebas Covid-19 yang dijalankan oleh jabatan itu.

“Penurunan ketara itu turut disumbangkan oleh program ekosistem hijau Covid-19, dedikasi dan kerja berpasukan kakitangan penjagaan kesihatan terhadap pandemik tersebut.

“Fokus kami sekarang adalah untuk mengembalikan Labuan ke status zon hijau demi kepentingan ekonomi dan pelancongan domestik,” katanya hari ini.

Sehubungan itu beliau menggesa orang ramai di semua peringkat terutama komuniti perniagaan dan pengembara untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ismuni berkata Labuan telah merekodkan kes baharu satu digit dalam tempoh seminggu lepas iaitu lapan kes pada 20 Dis, 21 Disember (enam kes), 22 dan 23 Disember (tujuh kes), 24 Disember (empat kes), 25 Disember (dua kes) dan enam kes semalam (26 Disember).

“Zon kuning bermakna penularan Covid-19 adalah sederhana, tetapi masih terdapat risiko jangkitan, oleh itu SOP penjarakan fizikal masih diperlukan,” katanya.

Beliau berkata petugas kesihatan masih ditempatkan di Lapangan Terbang Labuan dan dua terminal feri Labuan untuk mengeluarkan notis nasihat Covid-19 dan memantau aliran masuk dan keluar pengembara.

Ismuni berkata Labuan masih memantau 54 kes aktif dengan 19 daripadanya adalah kes import.

Labuan merekodkan 164 kes aktif pada 1 Disember dengan 32 kes adalah kes import.

Kawasan diklasifikasikan sebagai zon merah apabila 41 atau lebih kes Covid-19 direkodkan untuk tempoh 14 hari, sementara zon kuning adalah kawasan di mana satu hingga 40 kes dicatatkan dan zon hijau apabila tidak ada kes Covid-19 yang dilaporkan di kawasan tersebut. – Bernama, 27 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen