Kemasukan kanak-kanak ke hospital AS akibat Covid-19 meningkat


Jabatan Kesihatan New York mengenal pasti kenaikan empat kali ganda kemasukan hospital akibat Covid-19 di kalangan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah. – Gambar EPA, 27 Disember 2021.

PENINGKATAN kes Omicron menyaksikan kenaikan kemasukan kanak-kanak ke hospital, lapor pegawai kesihatan New York.

Jabatan Kesihatan Negeri New York memberi amaran mengenai pola menaik kemasukan ke hospital di kalangan kanak-kanak yang dikaitkan dengan Covid-19, katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Di New York City, ia mengenal pasti kenaikan empat kali ganda kemasukan hospital akibat Covid-19 di kalangan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah sejak minggu 5 Disember hingga terkini, katanya.

Kira-kira separuh daripada kemasukan berusia 5 tahun ke bawah, kumpulan umur yang tidak layak untuk divaksin, tambah jabatan itu.

Jumlah kes Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) semakin meningkat, dengan purata hampir 190,000 jangkitan baharu setiap hari sejak tujuh hari lalu, menurut angka dari Universiti Johns Hopkins.

Kemunculan varian Omicron baharu, ditambah lagi dengan perayaan percutian menyebabkan ramai berpusu-pusu melakukan ujian di AS, yang sukar untuk mendapatkannya di banyak lokasi.

Penasihat pandemik AS Anthony Fauci pada Ahad mengakui “masalah ujian” Covid-19 dan berjanji menyediakan lebih banyak ujian saringan kepada rakyat Amerika bulan depan.

“Salah satu masalah ialah ia tidak akan tersedia kepada semua orang sehingga Januari dan masih terdapat beberapa isu sekarang isu untuk menjalankan ujian,” kata Fauci kepada ABC News.

“Tetapi kami sedang menangani masalah ujian,” tambahnya, sambil berkata ia harus diperbetulkan segera.

Pada Selasa, Presiden Joe Biden mengumumkan beberapa siri langkah baharu ketika AS menghadapi lonjakan Covid-19 terbaharunya, termasuk menghantar setengah bilion kit ujian rumah percuma menjelang Krismas.

Bagaimanapun, White House yang strateginya selama berminggu-minggu memfokuskan kepada vaksinasi, menerima kritikan mengenai fakta yang banyak ujian tidak akan tersedia sehingga Januari.

Fauci pada Ahad menegaskan pentadbiran sedang berusaha menangani lonjakan itu dan menekankan Omicron adalah “sangat mudah menular”.

Varian Covid-19 juga memaksa pembatalan ratusan penerbangan di AS, kerana ramai sakit atau terpaksa dikuarantin selepas terdedah kepada virus itu.

Kajian terbaru di Afrika Selatan dan Britain menunjukkan Omicron kurang berkemungkinan menyebabkan kemasukan ke hospital berbanding strain virus sebelumnya dan tempoh penginapan hospital dan keperluan oksigen untuk pesakit adalah lebih rendah, kata Fauci. – AFP, 27 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen