Golongan OKU gembira peruntukan Belanjawan 2022


Ravin Palanisamy

Presiden ILTC Francis Siva menggesa kerajaan membentuk jawatankuasa yang melibatkan OKU, agar pendapat mereka dapat diambil kira. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Disember 2021.

PERUNTUKAN dalam Belanjawan 2022 untuk individu kelainan upaya (OKU) amat dialu-alukan, kata Presiden Pusat Kehidupan Berdikari dan Latihan Malaysia (ILTC) Francis Siva.

“Kami gembira belanjawan ini memberi kepentingan kepada komuniti OKU.

“Kredit mesti diberikan kepada Kementerian Kewangan kerana mengingati kami semasa merangka rancangan belanjawan dan kami mengalu-alukan peruntukan yang diberikan,” kata Francis kepada The Malaysian Insight.

Ketika membentangkan Belanjawan 2022, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan akan memperuntukkan RM30 juta untuk menaik taraf infrastruktur bangunan kerajaan agar lebih mesra OKU manakala RM10 juta akan digunakan untuk program latihan dan bimbingan OKU.

Kerajaan juga merancang membangunkan program pemulihan komuniti, medium intervensi awal bagi kanak-kanak OKU, untuk meningkatkan kemahiran mereka dan mendapatkan pekerjaan.

Ketika ini, ia hanya terdapat di Universiti Sains Malaysia dan program itu akan diperluaskan ke universiti awam lain mulai tahun depan.

Tengku Zafrul berkata kerajaan juga akan menyediakan kuota khas sebanyak 1% melalui program pekerjaan jangka pendek bagi memastikan golongan muda OKU mendapat pekerjaan.

Menteri kewangan berkata majikan yang mengambil OKU akan menerima subsidi upah sebanyak 30% daripada gaji bulanan bagi enam bulan pertama dan 40% untuk enam bulan berikutnya.

Francis berkata pembiayaan itu akan menjadi batu loncatan yang tepat untuk OKU.

Beliau menggesa kerajaan membentuk jawatankuasa yang merangkumi OKU, supaya pendapat mereka dapat diambil kira apabila melaksanakan janji yang dibuat dalam belanjawan.

“Ini kerana individu seperti kami yang akan menggunakan kemudahan ini. Jadi, alangkah baiknya jika kami diberi peluang memberi input mengenai sesuatu yang dibuat untuk kami,” katanya.

Beliau juga berkata perlu ada mekanisme untuk memantau kemajuan.

Subsidi lesen memandu

Pengumuman Tengku Zafrul yang kerajaan akan membiayai lesen memandu untuk OKU juga diterima baik.

“Kami sudah lama inginkannya. Kami pernah mengajukan permintaan pada 2007 tetapi ia tidak berlaku ketika itu.

“Kini, kerajaan ini mempertimbangkannya dan bersetuju membuat bayaran penuh,” katanya.

Sementara itu, Muhd Uthman dari Petaling Jaya berkata ia dapat membantunya kerana boleh menggunakan wang simpanan untuk perkara lain.

“Bagi sesetengah orang, ini mungkin tidak penting tetapi bagi orang seperti kami, ia perkara besar.

“Saya gembira kerajaan melakukan yang terbaik untuk kami. Semoga ia menjadi lebih baik dan menjadi penanda aras,” katanya.

Di bawah Belanjawan 2022, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk menambah baik program latihan sukan dan membina liga sukan untuk atlet OKU. – 27 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen