Tuan Ibrahim positif Covid-19


Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan status dirinya dan beberapa ahli keluarga positif Covid-19 menerusi Facebook. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2021.

MENTERI Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man positif Covid-19 bersama beberapa ahli keluarganya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS mengumumkan status kesihatan dirinya melalui satu hantaran di Facebook.

“Mohon doa semua. Saya, empat orang anak dan seorang cucu telah disahkan positif Covid-19.

“Kami telah menjalani kuarantin beberapa hari lalu,” tulisnya.

Tuan Ibrahim juga memaklumkan seorang cucunya selamat dilahirkan semalam dan disahkan negatif tetapi ibunya masih ditahan di Hospital Sungai Buluh.

Tuan Ibrahim jadi perhatian sejak seminggu lalu selepas beberapa negeri teruk dilanda banjir.

Beliau dilapor berada di Malaysia kali terakhir pada pagi 18 Disember, pada hari sama sekurang-kurangnya tiga daerah di Selangor iaitu Klang, Shah Alam, dan Hulu Langat terjejas teruk akibat banjir.

Tuan Ibrahim dilapor berada di Malaysia kali terakhir pada pagi 18 Disember, pada hari sama banjir teruk melanda beberapa daerah di beberapa negeri terutamanya Klang, Shah Alam dan Hulu Langat di Selangor.

Portal berita rasmi PAS Harakahdaily kemudian melaporkan Tuan Ibrahim berada di Arab Saudi untuk mengerjakan umrah.

Dalam satu komennya yang dipetik Berita Harian, Tuan Ibrahim berkata masyarakat selama ini kurang memberi perhatian kepada laporan dan amaran cuaca kerana beranggapan daerah mereka bukan kawasan ancaman banjir.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan 30 daripada 49 kes jangkitan Covid-19 varian Omicron yang dikesan di negara ini melibatkan jemaah umrah dari Arab Saudi.

“Kita dapati sebahagian besar tidak patuh dengan SOP dan menjalankan pengasingan.

“Ada antara mereka bergaul dengan keluarga serta menerima tetamu daripada jiran tetangga. Mereka bersalam untuk mengambil berkat tetapi akhirnya dapat Omicron,” katanya.

Khairy juga semalam mengumumkan mulai esok semua pengembara yang masuk dari Arab Saudi diwajibkan memakai peranti digital untuk memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu kurantin di rumah.

Selain Arab Saudi, sembilan negara juga dikelaskan sebagai risiko tinggi dan mereka yang datang dari negara-negara ini dikenakan peraturan sama.

Negara-negara itu ialah United Kingdom, Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India dan Nigeria. – 26 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen