Naikkan bantuan banjir kepada RM8,000, kata ahli Parlimen Klang


Elill Easwaran

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata bantuan sebanyak RM1,000 tidak memadai kerana kerugian yang dialami mangsa banjir lebih tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2021.

KERAJAAN perlu meningkatkan bantuan kewangan kepada mangsa banjir yang terjejas daripada RM1,000 kepada sekurang-kurangnya RM8,000 setiap isi rumah, kata Charles Santiago.

Ahli Parlimen Klang itu berkata jumlah RM1,000 itu tidak mencukupi untuk keluarga terbabit.

“Saya bercakap dengan seorang wanita di Telok Gong yang berkata keseluruhan dapurnya rosak termasuk semua peralatan.

“Tidak banyak dia boleh lakukan dengan RM1,000 yang ditawarkan oleh kerajaan. Tiada apa yang boleh dilakukan dengan RM1,000 apabila rumah di sini mengalami kerugian yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau juga berkata mangsa banjir sudah pun mengalami kesusahan ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan bencana banjir itu hanya akan menambahkan beban mereka.

“Sesetengah daripada mereka kehilangan pekerjaan kerana wabak dan masih menganggur, jadi bagaimana mereka mahu menggantikan semula perabot di rumah mereka,” katanya.

Santiago berkata kebanyakan mangsa di Klang dan Shah Alam adalah daripada komuniti B40 yang pastinya memerlukan lebih banyak bantuan kewangan daripada kerajaan.

Ahad lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk pembaikan rumah dan infrastruktur pasca banjir.

Beliau berkata ini adalah pembiayaan awal dan Putrajaya akan memperuntukkan lebih banyak jika diperlukan.

Di bawah bantuan ini, setiap isi rumah yang terjejas banjir akan menerima RM1,000, yang akan disalurkan selepas mangsa pulang ke rumah masing-masing.

Hujan lebat yang berterusan mengakibatkan banjir pada hujung minggu lalu di Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Kawasan Santiago merupakan antara yang paling teruk terjejas akibat banjir.

Ramai keluarga yang terjejas kehilangan hampir segala-galanya apabila air banjir mencecah paras bumbung. Banjir turut memusnahkan ribuan kenderaan.

Sehingga hari ini, 47 orang disahkan maut manakala lima lagi masih hilang.

Pahang mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 29,108, diikuti Selangor dengan 23,302 mangsa. – 26 Disember, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen