BN 2.0 ada peluang tawan semula Pulau Pinang, kata Rahman Dahlan


Looi Sue-Chern

Pengarah Komunikasi Strategik BN Abdul Rahman Dahlan berkata Barisan Nasional BN boleh beri Pulau Pinang kerajaan lebih baik berdasarkan kepada hormat, kesaksamaan dan persahabatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2017.

MALAM tadi, Barisan Nasional (BN) melancarkan “BN versi 2.0” kepada pengundi di Pulau Pinang, menjanjikan kerajaan negeri yang akan “10 kali lebih baik” berbanding pentadbiran Pakatan Harapan pada hari ini.

BN 2.0 berjanji menawarkan manifesto lebih baik dan wajah baharu untuk “menyelamatkan” negeri itu daripada DAP.

“BN boleh beri Pulau Pinang kerajaan lebih baik berdasarkan kepada hormat, kesaksamaan dan persahabatan,” kata Pengarah Komunikasi Strategik BN Abdul Rahman Dahlan pada acara ceramah di Seberang Jaya malam tadi.

Rahman mendakwa pentadbiran DAP di negeri itu menipu rakyat dan gagal memenuhi janjinya.

Beliau juga berkata ahli politik pembangkang membawa cerita buruk tentang Malaysia di luar negara, beritahu dunia yang negara ini akan bankrap.

“Politik DAP bahaya. Mereka boleh pecahkan dan mempolarisasikan rakyat dan menjatuhkan ekonomi. DAP, sila diam. Jangan bangun. Kami dah bosan,” katanya di hadapan kira-kira 1,000 khalayak yang berkumpul di padang bola keranjang di kawasan perumahan kos rendah itu.

Khalayak, terdiri daripada pemimpin dan penyokong BN, ketawa dan bersorak ketika mendengar ceramah Rahman dan speaker lain termasuk Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow dan Timbalan Presiden MIC SK Devamany, yang mengutuk PH, Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mereka bersorak ketika Rahman beritahu mereka untuk bekerja bagi menawan kembali Pulau Pinang dan tewaskan Dr Wan Azizah di Permatang Pauh, kerusi Parlimen yang sinonim dengan ketua umum PKR Anwar Ibrahim yang kini dalam penjara.

Ketika ditemui wartawan selepas itu, Rahman berkata beliau percaya DAP akan tumbang di Pulau Pinang itu, negeri yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.

“Pada 2008, rakyat Pulau Pinang mahu cuba sesuatu yang baharu. Mereka beri ruang untuk DAP dan Guan Eng buat dasar, tetapi mereka gagal menyampaikannya.

“Rakyat beri peluang kedua pada 2013, tetapi kita lihat kerajaan DAP di bawah Guan Eng tidak mampu memberikan rakyat kehidupan lebih baik, daripada segi alam sekitar, pengurusan trafik dan perumahan,” katanya.

Rahman berkata DAP dan pembangkang berdepan masalah dalaman sementara BN dalam kerajaan persekutuan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak, bekerja keras mengukuhkan ekonomi.

“Ia mungkin mustahil, tetapi kami mesti beritahu rakyat, terutama penyokong DAP, yang ini bukan mengenai politik.

“Ia mengenai tadbir urus yang baik dan menyampaikan janji, di mana DAP gagal melaksanakannya. Bukan saja mereka gagal, mereka juga tipu dan menipu dalam gaya,” katanya yang juga ahli Parlimen Kota Belud, Sabah.

Bagaimanapun, Rahman mengakui pengundi Pulau Pinang mempunyai kesedaran politik yang tinggi dan sangat mengambil tahu mengenai ketelusan, perlindungan alam sekitar dan bebas, BN perlu menawarkan kepada mereka sesuatu yang luar biasa.

BN perlu belajar daripada kesilapan lalu dan mengemukakan manifesto lebih baik dan bersesuaian, katanya.

“Beri kami lima tahun saja dengan BN versi 2.0. saya percaya kami boleh beri rakyat kerajaan alternatif lebih baik,” katanya.

BN hanya mempunyai 10 kerusi DUN di Pulau Pinang menerusi Umno sementara Gerakan, MCA dan MIC tidak ada kerusi langsung. DAP memegang hampir semua kerusi iaitu 19, disusuli PKR (10) dan PAS ada satu. – 23 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen