MALAYSIA mencatatkan 2,778 kes baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Ini adalah kali pertama jumlahnya menurun di bawah paras 3,000 sejak 20 Disember apabila 2,589 kes dilaporkan.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 2,741,179 kes.
Pecahan kes mengikut negeri akan dimuat naik di laman web CovidNow selepas tengah malam.
Noor Hisham berkata kadar kejangkitan (Rt) di seluruh negara berada pada 0.88.
Awal hari ini, Johor melaporkan dua kes Omicron membabitkan pasangan yang pulang dari Arab Saudi.
Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sebanyak 49 kes baharu varian Omicron telah dikesan di negara ini setakat Jumaat lepas.
Tiga puluh daripada kes itu melibatkan rakyat Malaysia yang tiba dari Arab Saudi antara 13 Disember dan 17 Disember, manakala selebihnya adalah dari United Kingdom, Qatar, Amerika Syarikat, Nigeria, Turki, Itali, Ghana dan Emiriah Arab Bersatu.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Melaka mengesahkan telah mengesan kes positif varian Omicron di negeri ini semalam. – 26 Disember, 2021.
Komen