TIGA ahli kumpulan sensasi K-pop BTS diuji positif Covid-19 sejak pulang dari Amerika Syarikat (AS), selepas mengadakan konsert bersemuka pertama sejak wabak bermula, kata pengurusan kumpulan itu pada Sabtu.
Rapper RM dan vokalis Jin disahkan positif pada petang Sabtu, menurut Big Hit Music.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas agensi mengesahkan Suga, seorang lagi ahlinya, menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif.
Kumpulan Korea Selatan itu mengadakan konsert luar talian pertama mereka sejak permulaan wabak di Los Angeles, yang berlangsung dari akhir November hingga awal bulan ini.
Mereka bercuti sejak itu, dan tiga anggota yang dijangkiti kembali ke Korea Selatan pada tarikh yang berbeza.
Walaupun RM dan Suga tidak menunjukkan gejala, Jin mengalami demam ringan, kata agensi itu.
Ketiga-tiga mereka sudah mendapat vaksin lengkap dan tiada seorang pun daripada mereka mempunyai kontak rapat dengan ahli kumpulan lain selepas kembali ke Korea Selatan, tambah Bit Hit Music.
Antara ketiga-tiga mereka, RM dan Suga menerima ujian positif semasa menjalani kuarantin kendiri selepas tiba di rumah, manakala Jin dibebaskan daripada kuarantin selepas ujian negatif dan menerima keputusan positifnya kemudian.
AS dan Korea Selatan sedang bergelut dengan peningkatan kes Covid apabila varian Omicron yang mudah berjangkit menular ke seluruh dunia.
Syarikat itu akan memberi keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan artisnya, kata Big Hit Music dalam satu kenyataan.
BTS mencapai kegemilangan global dengan single mereka “Dynamite” yang memasuki carta Billboard Hot 100 di tempat nombor satu tahun lepas, menjadikan mereka sebagai artis Korea Selatan pertama yang mendahului carta AS. – AFP, 26 Disember, 2021.
Komen