KEKURANGAN bekalan kudapan menjejaskan rantaian bekalan di Jepun, dengan McDonald’s terpaksa melakukan catuan terhadap jejari kentang di negara itu ketika Covid-19 dan banjir di Kanada memberi kesan kepada import ubi kentang.
McDonald’s Jepun berkata ia hanya menjual jejari kentang bersaiz kecil selama seminggu bermula Jumaat lalu bagi mengelakkan kekurangan produknya.
“Disebabkan banjir besar berlaku berhampiran Pelabuhan Vancouver dan rantaian bekalan global terjejas disebabkan pandemik koronavirus, ada kelewatan dalam penghantaran bekalan ubi kentang,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Selasa.
Syarikat berkata ia sudah mengambil langkah bagi memastikan pelanggan masih boleh memesan jejari kentang, walaupun “perolehan stabil sumber bahan mental” sukar dilakukan sekarang.
Sekatan dibuat ketika musim hujung tahun yang sibuk, dengan sekolah dan pejabat mula ditutup untuk cuti perayaan.
Ia juga berlaku pada Hari Krismas, yang di Jepun selalunya disambut dengan hidangan makanan barat dengan pesaingnya Kentucky Fried Chicken mempergiatkan promosi musim perayaan.
Sementara itu, industri mikrocip global yang terjejas kerana pandemik terus menyebabkan masalah kepada gergasi automobile Jepun, Toyota, yang mengumumkan pengurangan pengeluaran disebabkan krisis dan isu rantaian bekalan di Asia Tenggara. – AFP, 26 Disember, 2021.
Komen