JANGKITAN Covid-19 di Perancis mencecah enam digit pada Sabtu dengan 104,611 kes dalam tempoh 24 jam, hari ketiga berturut-turut ia mencatatkan rekod tertinggi.
Angka terkini, daripada agensi kesihatan awam Perancis itu diperoleh menjelang mesyuarat persidangan video pada Isnin dengan Presiden Emmanuel Macron dan anggota penting kerajaannya akan membincangkan langkah keselamatan baharu Covid-19.
Pegawai bimbang kesan penyebaran pantas varian Omicron.
Pada Jumaat, pihak berkuasa kesihatan mengesyorkan orang dewasa menerima suntikan penggalak tiga bulan selepas vaksinasi awal mereka.
Kerajaan kini dalam perancangan mewajibkan pengambilan suntikan penggalak bagi memastikan pas kesihatan bagi mereka yang lengkap divaksin sah digunakan.
Pas diperlukan untuk akses ke kafe, restoran dan tempat awam, serta untuk perjalanan antarabangsa.
Beberapa wilayah menggubal langkah keselamatan mereka sendiri.
Sebagai contoh, pada penghujung bulan lalu pihak berkuasa di Savoie mewajibkan semula pemakaian pelitup muka, bukan hanya di ruang awam dalam bangunan, tetapi juga di luar rumah—langkah baharu yang diterima pakai di negara jiran Itali.
Angka terkini menandakan peningkatan dramatik sejak awal bulan: pada 4 Disember, jumlahnya mencecah 50,000 buat kali pertama sebelum meningkat dengan stabil.
Setakat ini, Perancis merekodkan 122,546 kematian akibat koronavirus dan 76.5% daripada populasi sudah mendapat vaksinasi lengkap. – AFP, 26 Disember, 2021.
Komen