Umno tidak sesuai untuk saya, kata presiden Kuasa Rakyat


Ravin Palanisamy

Kamarazaman Yaakob berkata Parti Kuasa Rakyat ditubuhkan bukan untuk menentang adiknya walaupun ada sesetengah pihak dalam Umno menafsirkan sedemikian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2021.

UMNO bukan parti yang sesuai untuk Kamarazaman Yaakob, katanya sambil memaklumkan adiknya, Ismail Sabri turut menyedari perkara itu.

Kamarazaman yang merupakan abang kepada naib presiden Umno dan perdana menteri itu kini adalah presiden pro-tem Parti Kuasa Rakyat (Kuasa Rakyat).

Beliau berkata sudah menjadi ahli Umno selama enam tahun, dari 1995 hingga 2001, sambil menambah parti itu sangat feudal dan menentang ideologinya yang berhaluan kiri.

“Ideologi saya tidak berganjak daripada ideologi asal marhaenisme (memperjuangkan orang miskin). Jadi, ia (Umno) bukanlah satu platform yang sesuai dengan pendirian saya.

“Saya lantang di bahagian dan adik saya (Ismail Sabri) sebenarnya pernah memberitahu semasa saya menyertai Umno bahawa saya masuk parti yang salah.

“Benarl, beliau berkata begitu,” kata Kamarazaman kepada The Malaysian Insight dalam temu bual eksklusif.

Kamarazaman – bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1970-an – baru-baru ini melancarkan Kuasa Rakyat - parti berbilang kaum pada 10 Oktober - yang cenderung kepada kerajaan.

Aktivis veteran itu berkata adiknya berasa parti itu akan menghentikan progresnya dalam usaha memperjuangkan rakyat biasa.

“Umno adalah parti feudal dari segi perjalanan parti.

“Beliau (Ismail Sabri) tahu saya sentiasa lantang, progresif berbanding Umno. Jadi, Umno bukanlah platform yang sesuai untuk saya,” kata Kamarazaman.

Kamarazaman berkata walaupun Ismail Sabri tidak mempengaruhinya membentuk parti politik baharu, Ismail Sabri bagaimanapun menyokong langkahnya menubuhkan parti itu.

Beliau berkata sudah memaklumkan kepada Ismail Sabri mengenai hasratnya menubuhkan parti politik, berikrar untuk memperjuangkan golongan miskin, pada 2018.

Ismail Sabri adalah ketua pembangkang ketika itu, selepas Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan mengejut kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum 2018.

“Semasa beliau menjadi ketua pembangkang, saya beritahu mahu tubuh parti berbilang kaum yang akan membawa perjuangan marhaenisme.

“Beliau memberitahu ia keputusan tepat yang dekat di hati saya dan sesuatu yang saya perjuangkan sejak 50 tahun lalu. Berdasarkan itu, saya menubuhkan parti ini dan menjadikannya mesra BN,” katanya.

Kamarazaman berkata beliau tidak pernah berhasrat untuk menubuhkan parti menentang adiknya, walaupun beliau mendakwa sesetengah pihak dalam Umno menafsirkan sedemikian.

Bagaimanapun, katanya memandangkan Ismail Sabri sudah mengetahui hasratnya sebelum ini, tiada sebarang maklum balas negatif daripadanya.

“Memandangkan beliau tahu lebih awal tujuan saya tubuh parti ini, beliau sangat menggalakkan dari peringkat awal. Jadi reaksinya tidak negatif.

“Hanya mungkin dalam kalangan (ahli) Umno yang tidak tahu perkara sebenar, mereka menganggap atau mentafsir saya menubuhkan parti untuk menentang Umno dan jawatan perdana menteri.

“Mungkin Umno melihat ini sebagai ancaman kepada mereka tetapi kita parti berbilang kaum. Mereka tidak sepatutnya melihat kita sebagai ancaman.

“Beliau tidak mengulas apa-apa tetapi berkata perkara biasa dalam keluarga ini ada orang dalam parti yang ‘begini dan begitu’.

“Saya rasa komen itu sendiri ditafsirkan oleh pemain politik yang beliau tiada halangan dan tidak menentang saya menubuhkan parti politik,” katanya. 

Beberapa pemimpin tolak sertai Kuasa Rakyat

Kamarazman juga mendedahkan ada menghubungi beberapa wakil rakyat pembangkang dan kerajaan untuk menyertainya membentuk Kuasa Rakyat.

Beliau berkata antara yang dijemput termasuk Tian Chua dari PKR, Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah, Ahli Parlimen Petaling Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Julau Larry Sgn dan, Ahli Parlimen Ampang dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi semasa Zuraida Kamaruddin.

Bagaimanapun, bagaimanapun berkata mereka menolak tawaran itu kerana tidak bersedia dan mempunyai komitmen lain.

“Saya bertemu dengan beberapa rakan yang mempunyai pemikiran dan aspirasi yang sama seperti Tian Chua, Sivarasa dan Maria untuk mengajak mereka menubuhkan parti baharu berasaskan marhaenisme (memperjuangkan rakyat miskin) tetapi mereka belum bersedia.

“Akhirnya, saya menemui rakan yang menerima idea saya dan akhirnya kami menubuhkan Kuasa Rakyat,” kata Kamarazam.

Kamarazaman berkata beliau juga bertemu bekas pengerusi PKR Sarawak Larry dan menyatakan hasratnya tetapi menolak kerana mempunyai komitmen dalam menubuhkan partinya sendiri.

Beliau berkata Larry pada ketika itu memberitahunya beliau membuat komitmen kepada Zuraida untuk menubuhkan parti politik.

“Saya berbincang dengan Larry mengenai hasrat menubuhkan parti, tetapi menurutnya, beliau berjanji dengan Zuraida menukar Parti Pekerja Sarawak kepada Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Apabila saya mendapat tahu beliau (Zuraida) mahu tubuh parti dengan Larry, saya bertanya dengannya dan mengakui niat menukar Parti Pekerja Sarawak. Jadi, saya difahamkan Zuraida akan terlibat,” katanya. – 26 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen