Siapa kami tidak penting, selamatkan mangsa banjir lebih utama, kata pekerja asing


Elill Easwaran

Ketika negara dilanda banjir terburuk dalam sejarah dan bantuan kerajaan lambat sampai, tindakan berani pekerja asing membantu rakyat tempatan dipuji ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2021.

KETIKA rakyat Malaysia memaparkan solidariti agung bersatu tenaga membantu mangsa banjir besar dengan menyelamat mangsa terperangkap sehinggalah kepada menyediakan bekalan keperluan asas, budi baik warga asing juga menarik perhatian ramai.

Ramai pekerja warga asing terutamanya dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar turut mengambil risiko membahayakan nyawa mereka untuk menyelamatkan rakyat Malaysia dalam banjir terburuk pernah berlaku dalam sejarah negara. 

Mereka memberitahu The Malaysian Insight yang dalam keadaan sekarang, taraf kewarganegaraan tidak penting kerana perkara terutama adalah membantu semua orang dalam kesusahan.

Imran Mishu, 33, dari Bangladesh dan menetap di Dengkil berkata dia tidak sanggup hanya berdiam diri dan melihat ramai orang susah.

“Saya boleh menyelamatkan diri saya sahaja tetapi bila dengar orang menjerit minta tolong, buatkan saya terjun masuk air dan selamatkan mereka.

“Ada warga emas perempuan berhampiran, jadi saya berenang ke arahnya dan pastikan dia berpindah ke tempat lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya lagi, dia juga mengumpulkan beberapa rakannya di kawasan kejiranan sama dan meminta mereka menyelamatkan mangsa lain seramai boleh.

Andik, 29, warga Indonesia pula berkata dia dan rakannya berenang ke hulu hilir selama 20 minit untuk memastikan penduduk di apartmentnya mendapat bekalan makanan mencukupi.

“Hari sudah sangat gelap dan kebanyakan orang di sini kelaparan, jadi saya berpaut pada kotak polisterin dan berenang untuk dapatkan bekalan makanan.

“Saya tak pasti mengapa bot tak datang ke kawasan kami pada Ahad dengan bekalan makanan,” kata Andik yang tinggal di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Rashid Ullah, 27, dari Myanmar pula berkata dia tidak rugi apa-apa dengan membahayakan nyawanya untuk menyelamatkan orang lain.

“Saya sudah tiada keluarga jadi tak kisah bahayakan nyawa saya.

“Jika saya hanya duduk di sini dan tunggu pasukan menyelamat sampai, saya tahu mesti ada orang yang hilang nyawa mereka,” kata Rashid yang juga menetap di Taman Sri Muda.

Dia juga menggunakan kota polisterin untuk mengapungkan dirinya dan memastikan penduduk terutama kanak-kanak dipindahkan ke tempat lebih tinggi.

Taman Sri Muda di Shah Alam menjadi tumpuan negara kerana ditenggelami banjir, tindakan lambat dan culas pihak berkuasa memburukkan keadaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2021.

Rakyat Malaysia juga menggunakan media sosial untuk memuji tindakan berani dilakukan warga asing ini.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq menerusi Twitternya mengingatkan rakyat Malaysia supaya jangan memperkeleh warga asing ini “kerana satu hari nanti kita mungkin memerlukan bantuan mereka.”

Tambahnya, warga asing ini juga membantu tanpa diminta.

Seorang lagi pengguna Twitter, Danial Fakri pula menulis: “Jangan menghakimi penampilan, hati yang besar mungkin di bawah baju lusuh. Selalunya dalam krisis merekalah yang pertama memberi bantuan. Mereka akan buat apa sahaja untuk bantu orang lain, walaupun mereka sendiri bergelut dengan masalah sendiri. Jangan pandang rendah kepada mereka. Berbuat baiklah kepada semua.”

Seorang mangsa banjir, James Ikatan dari Taman Sri Muda juga menggunakan Twitternya untuk menceritakan bagaimana penduduk kawasan itu dari Myanmar membawa makanan kepadanya.

“Ini situasi bila deme dah balik dari kedei, beli barangan. Tiba tiba balik tu dua orang menghala ke balkoni kami. Rupanya nak hulur bungkusan berisi roti dan kek berpaket. Kami cakap tak mengapele, udah ada makanan, dia hulur juga supaya tak mahu kami berlapo,” tulisnya.

Hujan lebat berterusan menyebabkan bah besar hujung minggu lepas di Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Setakat hari ini, 46 disahkan maut dan lima lagi mangsa masih hilang dihanyut banjir.

Pahang merekodkan mangsa terbanyak dengan 29,108 terjejas, diikuti Selangor dengan 23,302 orang. – 25 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen