MALAYSIA melaporkan 3,160 kes baharu Covid-19 setakat tengah hari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Ini adalah hari kelima kes harian melebihi takat 3,000. Kes menurun bawah 3,000 hanya sekali – 2,589 kes pada 20 Disember- sejak mula meningkat pada Ogos lalu dengan kes harian melonjak kepada lebih 10,000.
Data terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus di negara ini kepada 2,738,401.
Pecahan kes mengikut negeri akan dikemas kini di laman web CovidNow selepas tengah malam ini.
Menurut Dr Noor Hisham lagi, kadar kebolehjangkitan (Rt) seluruh negara kini adalah 0.89.
Awal hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata terdapat 49 kes baharu melibatkan varian Omicron, menjadikan jumlah keseluruhan 62 kes Omicron dikesan di negara ini.
Daripada jumlah itu, 61 kes adalah kes import manakala satu lagi kes adalah jangkitan tempatan di Sarawak yang melibatkan seorang pesakit tanpa rekod perjalanan dan disyaki berpunca daripada jangkitan tempatan.
Khairy juga berkata Malaysia mungkin menyaksikan meledaknya varian Omicron menerusi jangkitan tempatan kerana varian itu sudah berada dalam komuniti. – 25 Disember, 2021.
Komen