China lapor kes baharu Covid-19 tertinggi dalam 4 bulan


Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dalam satu kenyataan, sebanyak 140 jangkitan baharu dilaporkan dan daripada jumlah itu 87 merupakan penularan tempatan berbanding 55 pada hari sebelumnya. – Gambar EPA, 25 Disember 2021.

CHINA melaporkan jumlah kes baharu Covid-19 tertinggi dalam tempoh empat bulan ketika pegawai bertungkus-lumus untuk membendung wabak itu di beberapa wilayah, termasuk bandar Xi’an di mana berjuta penduduk masih dikenakan sekatan pergerakan.

China, negara pertama yang mengesan Covid-19 pada penghujung 2019, berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap jangkitan baharu ketika republik itu bersiap sedia untuk menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk pada Februari di Beijing.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dalam satu kenyataan, sebanyak 140 jangkitan baharu dilaporkan dan daripada jumlah itu 87 merupakan penularan tempatan berbanding 55 pada hari sebelumnya.

Kebanyakannya jangkitan dikesan di Xi’an, di wilayah barat laut Shaanxi, di mana 13 juta penduduk telah dikenakan sekatan pergerakan sejak Khamis.

Menurut biro kesihatan tempatan, bandar itu melaporkan jumlah kes harian tertinggi dalam setahun dengan 75 jangkitan tempatan pada malam sambutan Krismas.

Walaupun China telah mengurangkan kes ke tahap minimum – terima kasih kepada strategi sifar-Covid susulan sekatan sempadan yang ketat, kuarantin yang panjang dan sekatan bersasar – kes telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Rakaman dari stesen TV tempatan CCTV hari ini menunjukkan barisan panjang di luar pusat ujian Xi’an ketika pegawai bekerja keras mengurangkan penularan.

Menurut peraturan sekatan pergerakan, sejak Khamis semua isi rumah di Xi’an hanya dibenarkan menghantar seorang ahli ke luar selang dua hari untuk membeli barang keperluan.

Penduduk memerlukan kebenaran khas daripada majikan atau pihak berkuasa tempatan untuk melakukan pergerakan ke luar bandar.

Xi’an telah merekodkan 330 kes di kalangan penduduk tempatan sejak kes pertama dilaporkan pada 9 Disember 2021, sedikit berbanding wabak di tempat lain di dunia.

Namun, kira-kira 26 pegawai kerajaan Xi’an dihukum kerana kesilapan dalam pencegahan virus, kata badan disiplin China pada Jumaat. – 25 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen