Kami hilang hampir semuanya, kata penduduk Taman Sri Muda


Alfian Z.M. Tahir

Seman dan isteri hilang hampir semua harta benda selepas banjir besar melanda Taman Muda Shah Alam yang menyebabkan mereka terperangkap 48 jam. – Gambar The Malaysian Insight, 25 Disember, 2021.

SEMAN Idon berasal dari Sarawak berharap untuk meraikan Krismas tahun ini dengan keluarga dan rakan selepas perintah berkurung Covid-19 tahun lepas menghalangnya berbuat demikian. Tetapi harapannya sekali lagi hancur berkecai disebabkan banjir besar yang menenggelamkan rumahnya.

Bapa anak dua berusia 41 tahun itu merancang untuk membawa anak-anaknya keluar membeli-belah sebelum hujan lebat melanda Lembah Klang minggu lepas.

Seman yang ditempat kerja ketika kejadian berkata beliau menerima panggilan daripada isterinya yang rumah mereka dinaiki air yang mendadak naik.

“Saya sangat bimbang bila dia telefon sebab saya tak pernah sangka ia jadi seburuk ini,” kata Seman yang menetap di Taman Sri Muda, Shah Alam sejak 17 tahun lalu.

Seman berkata beliau hanya menyedari buruknya situasi banjir itu apabila terperangkap dalam lalu lintas selama tiga jam untuk pulang ke rumah.

“Walaupun naik motosikal, anda tak boleh lepas sebab air terlalu tinggi. Saya tinggalkan motosikal saya di kilang dan berjalan tiga kilometer ke rumah.”

“Saya berjalan dalam hujan dan mengharung banjir berjam-jam lamanya. Bila saya sampai di rumah, air sudah naik ke paras pinggang. Saya keluarkan bateri kerta saya dan cuba selamatkan apa yang mampu. Isteri dan anak-anak tak mampu nak angkat barang berat di rumah,” katanya lagi.

Keluarga Seman antara 37 keluarga yang sedang berlindung di usat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan sejak Isnin.

Semalam, Seman menerima bungkusan barangan daripada saudara maranya di Sarawak- tradisi keluarga lebih sedekad.

“Setiap Krismas, keluarga saya di Sri Aman akan menghantar baju jahitan sendiri dengan ucapan Krismas. Saya ingat saya tak akan dapat tahun ini sebab banjir teruk sangat dan posmen tak dapat masuk kawasan itu, tetapi hari ini penghantar barangan tiba di rumah dan beri baju kepada isteri saya yang sedang bersihkan rumah.”

“Mungkin ini yang kami akan pakai esok (hari ini) untuk sambut (Krismas). Saya tak fikir kami boleh ke gereja sebab kami tiada pengangkutan,” tambahnya.

Seman dan keluarganya terperangkap selama 48 jam di rumah dua tingkat mereka pada Jumaat.

Mereka hanya mempunyai bekalan makanan dan minuman untuk sehari sahaja sebelum diselamatkan pada Isnin.

“Ruang tamu kami di bawah rosak semua. Tiada yang dapat diselamatkan. Kami berjaya ambil mee segera dan tiada air untuk minum.

“Anak-anak saya kurang air, nasib baik jiran ada air yang mereka beri menerusi tingkap menggunakan tali panjang,” katanya. – 25 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen