Arahan kuarantin terpakai kepada menteri kembali dari luar negara, kata Khairy 


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semua menteri yang pulang dari luar negara wajib menjalani kuarantin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2021.

MENTERI yang kembali dari luar negara perlu menjalani kuarantin, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Ketika ini mereka mesti menjalani kuarantin kerana walaupun mereka dipanggil pulang, adalah penting untuk berhati-hati dan berwaspada dalam perkara ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata semua menteri yang berada di luar negara telah diarahkan pulang segera.

“Saya dapat banyak soalan mengenai menteri-menteri Kabinet yang ada bercuti, jadi mereka yang masih belum bercuti batalkan percutian masing-masing.

“Mana ada di luar negara balik segera,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu di Bentong, semalam.

Sementara itu, Khairy berkata kementerian juga cuba mendapatkan lebih banyak maklumat sama ada Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus yang kembali dari luar negara telah menjalani kuarantin.  

“Beliau mohon pengecualian kuarantin untuk perjalanan antara 8-12 Disember. Beliau ke persidangan OIC di Istanbul, Turki bersama tiga lagi wakil yang dipilih,” katanya.

 Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus melawat kawasannya yang dilanda banjir baru-baru ini.  – Gambar Facebook,  25 Disember, 2021.

“Pengecualian itu diluluskan kerana ujian dan protokol yang kita keluarkan untuk perjalanan rasmi,” katanya. 

Tambahnya, Hasanuddin Mohd Yunus tiba pada 22 Disember, dan pengecualian awal telah ditolak dan beliau diminta menjalani tujuh hari kuarantin pada 20 Disember.

“Itu adalah koresponden terakhir yang kami ada dengannya,” katanya.

Bagaimanapun, kementerian sedang menyiasat sejarah perjalanan Hasanudin sama ada beliau ke Pakistan dan Iran dari Turki. 

Kementerian juga sedang menyiasat sama ada beliau melanggar arahan kuarantin.

Bagaimanapun kata Khairy, beliau hanya akan dikenakan denda RM1,000 sekiranya didapati melanggar arahan pemantauan di rumah. 

Ahli Parlimen Amanah itu dilihat melawat kawasannya pada Jumaat.– 25 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen