49 lagi kes varian Omicron dikesan, kata Khairy


Ragananthini Vethasalam

Setakat ini 62 kes membabitkan varian Omicron telah dikesan dalam negara, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. – Gambar AFP, 25 Disember, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan 49 lagi kes baharu Covid-19 membabitkan varian Omicron, menjadikan setakat ini 62 kes telah dikesan dalam negara, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri kesihatan berkata kes tersebut dikesan daripada ujian PCR Genotyping Assay yang dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas 145 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara dari 15 sehingga 21 Disember.

“Daripada jumlah ini, 60 sampel menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron. 

“Pada 24 Disember 2021, 45 daripada 60 sampel presumptive ini telah disahkan varian Omicron melalui jujukan genom yang dijalankan oleh IMR,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata, daripada 62 kes yang telah dikesan setakat ini, 61 merupakan jangkitan import dari luar negara manakala satu lagi masih dalam siasatan, yang disyaki berkemungkinan  jangkitan tempatan. 

Mengulas lanjut, Khairy berkata jangkitan tempatan membabitkan seorang lelaki warga China berusia 38 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Sarawak selama tiga tahun.

“Kes telah menjalani ujian Covid-19 pada 18 Disember kerana mengalami demam dan batuk sejak 13 Disember.

“Keputusan sampel didapati positif Covid-19 dan kes telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di bawah Hospital Umum Sarawak pada 20 Disember,” katanya.

Kes jangkitan tempatan itu katanya, tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 3 tahun ini.  Punca jangkitan masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.

“Kes juga telah lengkap vaksinasi dan keadaan beliau adalah stabil. 

“Seramai dua kontak telah dikenal pasti iaitu seorang pemandu kenderaan dan seorang lagi kontak sosial. Kedua-dua kontak ini telah diberi arahan kuarantin di stesen kuarantin untuk tempoh 14 hari dan keputusan ujian sampel pertama bagi kedua-dua mereka adalah negatif,” kata Khairy. 

Beliau selain itu berkata semua 42 kes varian Omicron yang baru dikesan itu adalah dalam Kategori 1 dan 2.

Tambahnya, beberapa pelancong yang diuji negatif sebelum pelepasan didapati positif semasa ketibaan.

“Ini bermakna mereka dijangkiti dalam tempoh 72 jam antara ujian prapelepasan dan ketibaan. Dan ini menunjukkan Omicron berkemungkinan mudah menular,” kata Khairy.

Menurutnya lagi, 30 daripada 45 kes baharu varian Omicron adalah pengembara dari Arab Saudi yang pulang dari mengerjakan umrah.

“Kita dapati bahawa sebahagian besar daripada mereka tidak patuh kepada pengasingan daripada ahli keluarga. Mereka balik dan bergaul ahli keluarga, mereka terima tetamu dari jiran tetangga, mungkin bersalam ambil berkat tetapi salam ambil ‘Omicron,” katanya.

Beiau berkata individu yang menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari selepas pulang daripada menunaikan umrah akan diwajibkan memakai peranti pengesanan digital mulai minggu depan.

Khairy seterusnya berkata selain Arab Saudi, kes baharu varian Omicron juga dikesan pada pengembara dari United Kingdom iaitu lima kes, Qatar (4), Amerika Syarikat (3), Nigeria (2), dan masing-masing satu dari Turki, Itali, Ghana serta Emiriah Arab Bersatu. – 25 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen