Rakyat bersatu hati ketika musibah, kata sukarelawan


Kalidevi Mogan Kumarappa Ragananthini Vethasalam Raevathi Supramaniam

Baracudda Adventure Team Kuala Krai menggunakan 103 pacuan empat roda dan 10 buah lori untuk membawa bantuan bagi mangsa banjir di Selangor.– Gambar The Malaysian Insight, 26 Disember, 2021.

SEMANGAT #kitajagakita mendorong rakyat Malaysia berganding bahu menyumbang masa dan tenaga bagi meringankan beban mangsa banjir.

Banjir yang melanda beberapa negeri minggu lalu menjadi bukti segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama bersatu hati apabila ditimpa bencana.

Ada yang sanggup datang dari jauh, misalnya dari Pantai Timur, untuk menolong mangsa banjir di Selangor. Mereka melancarkan kutipan derma dan menghantar sukarelawan serta bekalan ke kawasan terjejas

Penaung Baracudda Adventure Team Kuala Krai Mohd Fadir Hazmi, 42, berkata sebanyak 103 pacuan empat roda dan 10 buah lori digunakan kumpulan itu untuk membawa bantuan dari Kuala Krai ke Selangor.

Mohd Fadir memberitahu The Malaysian Insight, bantuan tersebut bagi membalas budi rakyat Selangor yang banyak membantu masyarakat di Kuala Krai, Kelantan ketika banjir pada 2014.

“Tujuh tahun lalu, banyak badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dari Selangor yang datang membantu masyarakat di Kuala Krai yang ditimpa bah kuning.

“Sekarang giliran kami pula membalas jasa mereka walaupun kami juga terkesan dengan kejadian banjir susulan musim tengkujuh yang sedang melanda Pantai Timur, namun ia tidak seteruk di Selangor yang boleh dianggap sebagai musibah,” katanya.

Menurutnya, misi tersebut turut disertai NGO Task Force, Info Dalam Kuala Krai (IDKK) dan MotorCross Kuala Krai, yang menjadi perantara mengumpul barangan bantuan hasil sumbangan daripada penduduk di Kuala Krai.

“Kami bertolak dari Kuala Krai pada jam 5 petang semalam sebelum singgah di Hulu Langat dan Shah Alam, di Selangor.

“Sasaran kami adalah mangsa banjir yang ‘total lost’ dan data mereka diperoleh dengan bantuan beberapa kelab dan NGO di Selangor dan kami membawa keperluan asas seperti pakaian, selimut, tikar dan makanan yang memang amat diperlukan sekarang.

“Kami datang dari pelbagai lapisan masyarakat di Kuala Krai menghulur bantuan tanpa mengira agama, bangsa atau fahaman politik,” ujarnya.

Hujan luar biasa sejak Jumaat hingga Ahad minggu lepas menyebabkan beberapa negeri di semenanjung, paling teruk di Selangor dan Pahang.

Tidak cukup di lapangan, rakyat Malaysia juga menggunakan media sosial menawarkan bantuan seperti makanan dan tempat berteduh kepada mangsa banjir.

Manakala kerajaan persekutuan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dikecam teruk kerana lambat menggerakkan usaha membantu dan menyelamatkan mangsa banjir ketika situasi semakin meruncing.

Setakat ini, angka korban banjir di Selangor, Pahang dan Kelantan mencecah 46 orang, sementara 5 lagi dilaporkan masih hilang.

Sementara itu, sekumpulan ahli Kelab Sukan dan Rekreasi Penyokong Berwibawa Manchester United Malaysia berkata, bantuan berupa wang tunai dan barangan elektrik menjadi fokus mereka untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Taman Sentosa, Klang, Jalan Kasipillay di Kuala Lumpur, Sri Muda di Shah Alam dan Karak di Pahang.

Menurut ketua projek bantuan mangsa banjir kelab itu, Arul Prakash Balakrishnan,39, misi bantuan itu dicetuskan oleh presiden mereka, Suresh yegambaram.

Ahli Kelab Sukan dan Rekreasi Penyokong Berwibawa Manchester United Malaysia menghulurkan bantuan berupa wang tunai dan barangan elektrik kepada mangsa banjir di Taman Sentosa, Klang, Jalan Kasipillay di Kuala Lumpur, Sri Muda di Shah Alam dan Karak di Pahang. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Disember, 2021.

Arul berkata sebanyak RM6,500 berjaya dikumpul dalam tempoh 14 jam untuk membeli barangan elektrik seperti periuk nasi dan wang tunai RM200 untuk setiap rumah di kawasan yang terjejas.

“Bantuan ini tanda solidariti kami sebagai satu pasukan untuk membantu mangsa yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa.

“Selain bantuan bekalan elektrik, kami sudah membeli ‘water jet’ untuk membantu mangsa banjir membersihkan rumah mereka terutama di Sri Muda dan Karak pada Ahad ini. Itu adalah projek kedua kami dalam membantu mangsa banjir,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahli Kelab Sukan dan Rekreasi Penyokong Berwibawa Manchester United Malaysia terdiri daripada penyokong berusia 18 hingga 70 tahun tetapi projek kali ini diterajui mereka yang berusia 30 hingga 40 tahun.  – 26 Disember, 2021.  

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen