AMERIKA Syarikat akan menarik balik larangan perjalanan yang dikenakan ke atas beberapa negara selatan Afrika apabila varian Omicron bagi Covid pertama kali dikesan, kata pegawai pada hari Jumaat.
Negara-negara di seluruh dunia mengehadkan perjalanan selepas varian itu dikesan di Afrika Selatan, yang melaporkan Omicron kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 24 November.
WHO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menentang sekatan perjalanan dan pegawai di Afrika Selatan berkata mereka dihukum kerana mengenal pasti varian berkenaan dan bersikap telus.
Penolong setiausaha akhbar White House Kevin Munoz mempertahankan larangan itu di Twitter, dengan berkata, “Sekatan memberi kami masa untuk memahami Omicron dan kami tahu vaksin kami yang sedia ada berkesan terhadap Omicron, terutamanya dos penggalak.”
Beliau berkata larangan perjalanan itu akan ditarik balik pada 31 Disember.
Seorang pegawai kanan Rumah Putih menambah bahawa dengan kehadiran Omicron di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia, pelancong antarabangsa dari lapan negara yang terjejas tidak akan memberi kesan yang ketara kepada kes AS.
“Semasa sekatan perjalanan, Presiden Biden mengurangkan tempoh untuk ujian kepada satu hari berbanding tiga hari,” kata pegawai itu.
“Pelancong dari lapan negara ini akan tertakluk kepada protokol ketat yang sama ini.”
Setiausaha Negara AS Antony Blinken kemudiannya bercakap dengan Menteri Perhubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan Naledi Pandor berhubung pengumuman itu.
“Setiausaha sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada saintis dan kerajaan Afrika Selatan atas ketelusan dan kepakaran mereka,” kata jurucakap Jabatan Negara Ned Price dalam satu kenyataan. – AFP, 25 Disember, 2021.
Komen