Peruntukan belanjawan bantu sektor pelancongan pulih, kata pemain industri


Elill Easwaran

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Melaka, Goh Hock Gin berkata, bantuan subsidi gaji amat bermanfaat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2021.

PEMAIN industri pelancongan yakin tahun depan akan menyaksikan permulaan sepenuhnya fasa pemulihan industri yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Dengan kelonggaran sekatan dan pembukaan semula semua sektor dan sempadan antara negeri, mereka pasti pelancong akan kembali melancong. Mereka juga berharap sempadan antarabangsa akan dibuka tidak lama lagi.

Di samping itu, mereka juga gembira dengan bantuan kerajaan dalam Belanjawan 2022 yang akan meringankan beban mereka dan menghalang lebih ramai pemain menutup perniagaan mereka.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia Uzaidi Udanis memberitahu The Malaysian Insight bahawa beliau bersyukur dengan peruntukan yang diberikan kerajaan di bawah Belanjawan 2022.

“Ada 120 persatuan pelancongan di bawah majlis kami dan nasihat saya kepada mereka gunakanlah bantuan itu dengan bijak.

“Kebanyakan persatuan kini menghadapi masalah kekurangan pekerja, jadi saya nasihatkan mereka mengambil pekerja secepat mungkin memandangkan mereka yang diberhentikan sudah pun bekerja dalam industri lain.

“Justeru banyak kajian perlu dilakukan sebelum mereka menggunakan wang yang diberikan,” katanya.

Jelasnya, bagi industri pelancongan, apa-apa bajet yang diperuntukkan tidak pernah cukup, jadi mereka terpaksa akur dengan apa yang diterima.

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Bahagian Melaka, Goh Hock Gin berkata, bantuan subsidi gaji itu amat bermanfaat.

“Subsidi gaji pasti membantu kerana banyak agensi pelancongan bergelut untuk membayar pekerja mereka.

“Industri pelancongan adalah yang pertama dilanda apabila wabak itu bermula tahun lalu dan ia yang terakhir pulih. Oleh itu kita memerlukan sebanyak mungkin sokongan daripada kerajaan,” katanya.

Goh berkata, sejak wabak itu bermula, 21 pengusaha pelancongan dan pengembaraan di Melaka menutup perniagaan mereka. – 25 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen