Thailand kesan kluster Omicron pertama


Jangkitan itu berpunca daripada pasangan suami isteri yang tiba dari Belgium dan memasuki Thailand melalui program "Test & Go". – Gambar AFP, 24 Disember, 2021.

THAILAND melaporkan kluster varian Omicron pertama di wilayah Kalasin dengan sekurang-kurangnya 22 jangkitan baharu dikesan daripada kluster itu.

Penolong jurucakap pusat pentadbiran situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan, berkata jangkitan itu berpunca daripada pasangan suami isteri berusia 47 tahun, yang tiba dari Belgium dan memasuki Thailand melalui program “Test & Go”.

Beliau berkata, pasangan yang lengkap vaksinasi itu diuji negatif Covid-19 sebaik tiba pada awal Disember. Mereka kemudiannya mengalami gejala dan disahkan positif.

“Kemudian, mereka diuji positif bagi varian Omicron,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di Bangkok hari ini.

Menantu mereka berusia 22 tahun yang tinggal di Udon Thani juga diuji positif varian Omicron selepas mengunjungi pasangan itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Dr Suakit Sirilak berkata, kira-kira 100 kontak rapat pasangan itu sedang menjalani kuarantin.

Beliau berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada terdapat kemungkinan kluster lain.

“Sehingga kini, Thailand melaporkan 205 kes Omicron, kebanyakannya membabitkan ketibaan asing,” katanya.

Thailand melaporkan penularan tempatan pertama kes Omicron pada Isnin membabitkan seorang wanita tempatan berusia 49 tahun yang diuji positif selepas dijangkiti daripada suaminya warga Colombia yang pulang dari Nigeria pada akhir November.

Dewan Bandaraya Bangkok membatalkan semua acara sambutan Tahun Baharu untuk membendung penularan kes Omicron.

Bagaimanapun, acara ambang tahun baharu dan pertunjukan bunga api anjuran pusat beli-belah tetap diadakan tetapi pengunjung perlu mengemukakan bukti vaksinasi dan keputusan ujian antigen. – Bernama, 24 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen