JPN Pulau Pinang lawat sekolah, rumah Vasanthapiriya 


Looi Sue-Chern

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Methodist Nibong Tebal Teoh Seang Hooi (kiri), Adun Batu Uban, Dr T. Jayabalan (dua, kiri), bapa M. Vasanthapiriya, Muniandy Ratnam (tengah) dan beberapa wakil daripada sekolah pada majlis pengebumian remaja itu hari ini. Vasanthapiriya cuba membunuh diri selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik gurunya pada 24 Januari lalu. Dia meninggal dunia semalam selepas seminggu koma. – Gambar The Malaysian Insight, 2 Februari, 2018.

JABATAN Pendidikan Negeri(JPN) Pulau Pinang hari ini melawat kediaman dan sekolah mendiang M. Vasanthapiriya, ketika keluarganya mengadakan majlis pengebumiannya. 

Jurucakap jabatan berkenaan mengesahan timbalan pengarah Mohd Jamil Mohamed dan beberapa pegawai menziarahi keluarga mendiang di kediaman mereka di Kampung Tonghai dan juga SMK Methodist Nibong Tebal. 

“Jabatan melawat sekolah berkenaan untuk mendapatkan perkembangan terbaru berhubung insiden itu. Laporan kami sudah dihantar kepada Kementerian Pendidikan. 

“Pertemuan itu untuk merungkaikan kesulitan dan memastikan laporan kami tepat,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Vasanthapiriya meninggal dunia semalam di Hospital Seberang Jaya selepas koma selama seminggu, berikutan cubaannya membunuh diri pada 24 Januari lalu. 

Dia dituduh mencuri telefon bimbit iPhone 6 milik gurunya pada awal hari berkenaan - dakwaan yang dinafikan olehnya. 

Dia turut didakwa disoal oleh guru yang menuduhkan di hadapan pelajar lain, dan mengurungnya di dalam sebuah bilik di bilik guru sekolah berkenaan. Guru terbabit dan suaminya kemudian membawa Vasanthapiriya pulang ke rumah untuk bertemu kedua ibu bapa pelajar berkenaan.

Vasanthapiriya cuba membunuh diri di dalam biliknya ketika ibu bapanya cuba membincangkan dakwaan kecurian itu dengan guru terbabit. Kakak remaja berkenaan menemuinya masih hidup tetapi tidak sedarkan diri. 

Jurucakap jabatan berkata, guru terbabit masih ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Prai, di mana dia ditukarkan sejak minggu lalu, berikutan siasatan jabatan berkenaan. 

“Tiada keputusan lagi berhubung kes ini. Sehingga itu, tiada apa yang boleh didedahkan. 

“Kami juga tidak boleh berat sebelah terhadap mana-mana pihak.”

Ditanya berhubung keadaan guru berkenaan yang berdepan dengan kecaman, terutamanya di media sosial, jurucakap berkenaan berkata guru terbabit tidak menyatakan apa-apa kepada pihak jabatan. 

“Sekiranya dia rasa terancam, dia perlu ke balai polis. Kami tidak ada kuasa untuk berikannya perlindungan. Kami tidak boleh mengulas berhubung keselamatannya.”

Komen di media sosial terhadap guru terbabit - yang identitinya didedahkan oleh pengguna media sosial - agak keterlaluan. Gambar guru terbabit dari Facebooknya turut tersebar di media sosial. 

Guru terbabit sejak itu menutup akaun di media sosial. 

SMK Methodist Nibong Tebal turut berdepan kecaman pengguna media sosial. 

Salah satu halaman Facebook sekolah berkenaan, yang dijalankan oleh bekas pelajar sekolah berkenaan, menyiarkan mesej ucapan takziah kepada keluarga Vassanthapiriya dan meminta pengguna untuk “like” dan kongsikan posting berkenaan sekiranya merasakan kes itu perlu disiasat dan diselesaikan secepat mungkin. 

Bagaimanapun, terdapat pengguna yang memberi komen mengutuk guru berkenaan, dan menggesa agar guru terbabit dipecat. 

Kemarahan juga diluahkan pada pengebumian Vasanthapiriya hari ini. 

Pengerusi PIBG SMK Nibong Tebal Teoh Seang Hooi berkata, seorang wanita dalam keadaan marah menggesa pihak Kementerian Pendidikan memecat guru yang menuduh remaja berkenaan. 

“Polis turut hadir pada pengebumian bagi memastikan ia berjalan lancar. PIBG turut berterima kasih kepada pihak polis kerana mengekalkan keamanan dan undang-undang.”

Beliau berkata, pihak persatuan akan mengadakan satu mesyuarat khas berhubung nsiden itu pada Jumaat depan, dan akan memastikan perkembangan terbaru disampaikan kepada umum. – 2 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen