405 mangsa banjir positif Covid-19, kata KP kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 405 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir setakat 3 petang tadi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2021.

SEBANYAK 405 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir setakat 3 petang tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, tiada kes dilaporkan di pusat pemindahan sementara (PPS), katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kesemua kes 405 itu dikesan melalui saringan kemasukan ke PPS.

Dr Noor Hisham menambah, ketika ini sebanyak 363 PPS masih beroperasi di Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur dan Melaka.

Jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas akibat banjir pula seramai 53,696 orang, katanya.

Dr Noor Hisham dalam kenyataannya juga berkata sebanyak 324 kes penyakit berjangkit telah dikesan dalam kalangan mangsa banjir.

Jumlah itu membabitkan jangkitan saluran pernafasan akut (ARI) sebanyak 148 kes, penyakit kulit (93), acute gastroenteritis (AGE) (75) dan konjunktivitis (8)).

Beliau dalam pada itu menasihatkan mangsa banjir supaya terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS bagi membandung penularan Covid-19.

Mangsa diingatkan agar mengelak kawasan yang sesak, sempit, mengamalkan kebersihan serta sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup.

“Elakkan berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mangsa banjir semasa berada di PPS.

“Sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan juga individu yang mempunyai komorbiditi,” katanya. – 24 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen