SKMM cuba padam ciapan kritik kerajaan, dakwa pengguna Twitter


Ragananthini Vethasalam

Beberapa pengguna Twitter menerima makluman daripada Twitter mengenai ciapan mereka yang mengkritik kerajaan terutamanya menteri Rina Harun dan Noh Omar berhubung cara mereka tangani bencana banjir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2021.

BEBERAPA pengguna Twitter hari ini mendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) cuba meminta Twitter padam ciapan yang mengkritik cara kerajaan tangani banjir.

Ada yang berkongsi tangkap layar e-mel daripada pasukan perundangan Twitter menunjukkan aduan SKMM kepada syarikat media sosial itu.

Bagaimanapun, Twitter tidak mengambil sebarang tindakan terhadap ciapan tersebut.

“Atas dasar ketelusan, kami memaklumkan anda yang Twitter telah menerima permintaan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung akaun Twitter anda yang mendakwa kandungan berikut melanggar undang-undang Malaysia,” menurut e-mel Twitter Legal merujuk kepada ciapan asal yang dilaporkan oleh SKMM.

“Buat masa ini, kami tidak ambil sebarang tindakan terhadap kandungan yang dilaporkan,” tambahnya.

Gergasi media sosial itu berkata ia menghormati dan mempertahankan suara rakyat, oleh sebab itulah syarikat tersebut memberitahu pengguna Twitter terlebih dahulu selepas mendapat permohonan undang-undang sedemikian.

Pengguna dengan nama @cheryltanxr berkata dia mendapat amaran yang ciapannya telah melanggar undang-undang negara.

“Sebahagian daripada anda mungkin tertanya-tanya mana perginya ciapan saya tentang salah satu tempat perlindungan yang mendiskriminasi warga asing. Sekadar ingin kemas kini di sini yang saya telah mendapat amaran daripada Twitter dan SKMM yang meminta saya memadamkan ciapan saya kerana saya telah melanggar undang-undang Malaysia,” katanya melalui satu ciapan.

Selain itu, @BadBoy2662 berkata ciapannya yang menjadi sasaran SKMM itu adalah mengenai kritikannya terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar.

Perkara ini turut menarik perhatian pengguna Twitter lain termasuk ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuriraani Patto.

“PM @IsmailSabri60, #KeluargaMalaysia tidak bermakna jika anda benarkan SKMM aniaya mereka yang kritik kerajaan kerana ketidakberkesanan urus banjir.

“Malah anda sendiri mengakui kelemahan kerajaan dalam hal ini. Arah SKMM berhenti ugut suara pembangkang!” tulisnya.

Peguam merangkap aktivis Siti Kasim memuji Twitter kerana menegakkan hak Perlembagaan pengguna untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

“Apa ni Boss…@IsmailSabri60. Jangan gunakan jentera kerajaan untuk sekat kebebasan bersuara untuk kritik kerajaan… Syabas @Twitter kerana tegakkan hak Perlembagaan kita untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan kita,” tulisnya.

Sementara itu, Josef Benedict, yang merupakan penyelidik di Civicus dan aktivis masyarakat sivil, terkejut dengan langkah itu.

“Mengejutkan yang kerajaan #Malaysia cuba tutup mulut pengkritik dalam talian terhadap cara mereka tangani banjir. Pelanggaran terang-terangan terhadap hak kebebasan bersuara. Bagus kerana @Twitter tolak,” katanya.

The Malaysian Insight juga telah menghubungi Twitter untuk pengesahan. – 23 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen