SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan ketua Bahagian Siasatan Jenayah Melaka Tengah, enam hari selepas ia menahan dua ketua polis daerah dan sembilan yang lain dalam siasatan berhubung peranan mereka dalam memberi perlindungan kepada perniagaan haram di Melaka.
Suspek berusia 49 tahun berpangkat timbalan penguasa ditahan di pejabatnya pada jam 12.30 tengah hari dan dibawa ke ibu pejabat SPRM.
Beliau dijangka ditahan reman di Mahkamah Putrajaya esok.
Lelaki itu adalah suspek ke-12 ditahan SPRM sejak seminggu lalu dalam siasatan kes polis memberi perlindungan kepada pusat perjudian dan rumah urut di Melaka.
Lapan daripada semua suspek anggota polis; termasuk seorang pembantu pesuruhjaya polis, dua inspektor, seorang berpangkat korperal dan sekurang-kurangnya seorang timbalan penguasa.
Operasi terhadap mereka minggu lalu merampas RM1.44 juta daripada suspek termasuk RM800,000 disorok dalam stor rumah seorang anggota polis, dan RM79,000 dari banglo ketua polis Melaka Tengah di kuarters polis baru di Kerubong.
Sumber berkata mereka meminta aktiviti perlindungan itu mengutip antara RM2,000 dan RM10,000 daripada setiap cawangan haram. Mereka yang tidak membayar akan menerima “lawatan” daripada pihak berkuasa.
Difahamkan, tidak kurang 50 cawangan haram membayar polis “wang perlindungan”.
Awal hari ini, SPRM memperoleh lanjutan reman lima hari bagi kedua-dua ketua polis daerah dan tujuh yang lain dalam tahanan.
Penyiasat pasukan meminta lanjutan tujuh hari tetapi dibantah peguam suspek.
Majistret Nik Tsfahanie Tasnim Wan Ab Rahman memberikan SPRM perintah reman bagi tempoh sembilan suspek sehingga 27 Mei. – 22 Mei, 2017.
Komen