DUA kajian dari Britain yang diterbitkan pada Rabu menunjukkan jangkitan Covid-19 akibat varian Omicron kurang berkemungkinan mengakibatkan kemasukan ke hospital berbanding Delta, menurut penyelidikan terbaru mengesahkan.
“Kami mengatakan ini boleh dikatakan berita baik kerana ini adalah pemerhatian awal dan signifikan secara statistik, dan menunjukkan pengurangan risiko kemasukan ke hospital,” Jim McMenamin, pengarang bersama penyelidikan Scotland, memberitahu wartawan melalui perbualan telefon
Kajian Scotland meneliti kes Covid-19 yang direkodkan pada November dan Disember, dan mengumpulkannya mengikut kes yang disebabkan oleh Delta serta membandingkannya dengan kes Omicron.
Ia mendapati “Omicron dikaitkan dengan pengurangan dua pertiga dalam risiko kemasukan ke hospital Covid-19 jika dibandingkan dengan Delta,” menunjukkan vaksin penggalak menawarkan perlindungan tambahan yang besar terhadap gejalan jangkitan.
Kajian itu melibatkan bilangan yang kecil dan tiada responden berusia di bawah 60 tahun dimasukkan ke hospital pada masa itu, tetapi penulis berkata mereka menyesuaikan perkara ini menggunakan kaedah statistik.
Kertas kedua, dari England, mendapati terdapat pengurangan 20 hingga 25% rawatan di hospital bagi Omicron berbanding Delta, dan pengurangan 40 hingga 45% kemasukan ke hospital sama ada bagi tempoh semalaman atau lebih.
Kajian dari Scotland hanya melihat kepada kemasukan hospital yang mungkin menyumbang sebahagian daripada perbezaan yang diperoleh.
Azra Ghani seorang penulis bersama kajian dari Imperial College London berkata dalam satu kenyataan: “Walaupun pengurangan risiko kemasukan ke hospital dengan varian Omicron meyakinkan, risiko jangkitan kekal sangat tinggi.
“Dengan penambahan dos penggalak, vaksin terus menawarkan perlindungan terbaik terhadap jangkitan dan kemasukan ke hospital.”
Kedua-dua kajian belum dibuat semakan penyelidik lain, tetapi mereka menambah bukti yang semakin besar mengenai kesan penyakit dengan Omicron.
Masih tidak jelas sama ada kadar penurunan kes teruk yang dilihat dengan kes Omicron adalah kerana ciri-ciri varian itu, atau sama ada ia kelihatan lebih ringan kerana dijangkiti populasi yang mempunyai imuniti lebih tinggi daripada terdahulu serta kesan vaksinasi.
Penny Ward, seorang profesor perubatan farmaseutikal di King’s College London, yang tidak terlibat dalam penyelidikan berkata: “Berita ini tidak menjejaskan penyebaran luar biasa varian ini di seluruh populasi, dan fakta walaupun sebahagian kecil orang memerlukan penjagaan hospital kerana Covid-19 mungkin menjadi jumlah yang sangat besar jika kadar serangan komuniti terus meningkat.” – AFP, 23 Disember, 2021.
Komen