NGO desak tubuh siasatan awam pembangunan Taman Sri Muda


Ravin Palanisamy

Keratan akhbar New Straits Times pada 1995 menunjukkan gambar Taman Sri Muda dilanta banjir pada Disember tahun itu. – Gambar Facebook, 23 Disember, 2021.

SIASATAN awam peringkat negeri perlu diadakan bagi menyiasat pembangunan projek perumahan di Taman Sri Muda, Shah Alam, yang dikatakan menjadi kawasan pembendungan banjir, kata kumpulan alam sekitar.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meena Raman berkata siasatan awam akan mendedahkan jawapan kepada bagaimana projek perumahan diluluskan di Taman Sri Muda walaupun kawasan itu sebelum ini dikhaskan sebagai kawasan pembendungan air.

Kawasan itu juga bersempadan dengan Sungai Klang dan salah satu kawasan paling teruk terjejas di Selangor akibat banjir pada hujung minggu lalu selepas hujan berterusan dengan lebat luar biasa selama kira-kira 48 jam.

“Kita perlukan siasatan awam kerana ini bencana besar dan turut merekodkan kematian.

“Tujuannya ialah untuk melihat kepada pengajaran kejadian ini dan bagaimana ia berlaku, dan siapa bertanggungjawab, serta langkah pembaikan yang boleh diambil.

“Keadilan perlu diberikan kepada penduduk Sri Muda,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sejarah pembangunan Taman Sri Muda menjadi topik perbualan di media sosial selepas satu tweet mendakwa kawasan itu adalah kawasan pembendungan air untuk banjir, tetapi ia tetap dijual kepada pemaju untuk membina perumahan.

Dakwaan itu dimuat naik bersama keratan akhbar New Straits Times pada 1995 menunjukkan gambar banjir di Taman Sri Muda pada Disember tahun berkenaan.

Satu artikel gambaran keseluruhan hartanah disiarkan The Edge Properties turut menyatakan kawasan itu masih terus dilanda banjir selepas 1995.

Lebih 70,000 orang dipindahkan akibat banjir pada hujung minggu lalu dengan 26,000 daripadanya di Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2021.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pada Selasa tidak menafikan dakwaan itu ketika ditanya adakah Taman Sri Muda dibina di atas kawasan pembendungan banjir, pada sidang akhbar berkenaan situasi banjir.

Amirudin dalam jawapannya berkata fokus kerajaan negeri pada masa ini ialah menyelesaikan masalah berkaitan bencana banjir itu, bukannya saling menunding jari.

“Mereka tinggal di situ sejak 1995. Isu sekarang untuk kita ialah menyelesaikan masalah ini. Tolong jangan minta kami robohkan rumah yang sudah ada di situ selama 40 tahun.

“Jika kita hendak jejak kembali kepada pemaju, ia sudah empat dekad. Memang betul orang lain yang bangunkan kawasan ini, tetapi saya yang perlu menangani perkara ini. Ada beberapa kolam tadahan kecil berhampiran kawasan itu.

“Kita mungkin akan membesarkannya atau menjadikannya lebih dalam,” kata Amiruddin dipetik daripada  The Vibes.

Amirudin dilantik menteri besar Selangor sejak 2018.

Sementara itu, Meena berkata siasatan awam juga akan dapat membantu penduduk Taman Sri Muda mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa, jika mereka mahu berbuat demikian.

“Beberapa tahun lalu, di Pulau Pinang berlaku runtuhan di kawasan pembinaan di mana beberapa pekerja maut dan siasatan awam peringkat negeri diadakan.

“Siatan awam turut diadakan selepas insiden letupan kilang Bright Sparkles di Sungai Buloh.

“Isu mengheret pihak berkuasa ke mahkamah selalu ada, tetapi bagi membolehkan penduduk sampai ke peringkat itu pun, satu siasatan awam perlu diadakan.”

Beliau berkata walaupun Taman Sri Muda adalah fokus pada masa ini, isu lebih besar sebenarnya ialah memastikan pihak berkuasa tidak lagi membangunkan kawasan berkenaan, bagi melindungi penduduk daripada bencana alam. – 23 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen