RAKYAT negara ini bukan sahaja membantu mangsa banjir dengan bekalan makanan sahaja malah turut membantu membersihkan rumah-rumah yang berlumuran lumpur.
Operasi pembersihan besar-besaran sedang dijalankan di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, di mana kira-kira 1,200 rumah dipenuhi selut lumpur dan sampah-sampah cemar yang dibawa banjir pada hujung minggu.
Dalam lawatan ke perumahan pinggir bandar di sebelah Sungai Langat, The Malaysian Insight menyaksikan orang ramai mengangkat perabot, peralatan memasak, pakaian dan segala macam barang untuk dijemur di bawah matahari.
Lorong-lorong antara rumah dipenuhi dengan barang-barang ini ketika penduduk selamatkan apa sahaja yang masih boleh digunakan.

Sukarelawan turut hadir, membantu penduduk membawa perabot besar keluar. Ada yang menembak lumpur keluar, ada yang memberi makanan dan ada yang memasak di dapur sementara.
Alzari Mahshar, 51, atau lebih dikenali sebagai Joey, merupakan salah seorang sukarelawan berkata kira-kira 50 orang hadir hari ini bagi membantu penduduk bersihkan rumah.
“Tak banyak boleh diselamatkan. Semuanya terpaksa dibuang. Ini baru hari kedua kami, banyak lagi yang kami perlu buat.”
Semalam, mereka berjaya mendapatkan kira-kira 80 pelajar universiti untuk menjadi sukarelawan.
“Kami tugaskan lima pelajar setiap rumah untuk tolong bersihkan. Kami masih bersihkan secara berperingkat sebab lumpur dan selut banyak merata tempat,” kata Joey, pembuat dan peniaga mentega kacang jenamanya sendiri.

Segala selut dan lumpur di setiap permukaan ini menurut Joey perlu dibersihkan secara sistematik.
Pertama, keluarkan harta benda dari rumah yang rosak akibat banjir. Dengan cara ini barulah boleh dibersihkan betul-betul.
Katanya beliau dan sukarelawan lain merasakan perlu menolong penduduk, kerana moral mereka kini lemah selain mental dan fizikal juga letih.
“Kami harap pihak berkuasa tempatan dapat secepat mungkin untuk bersihkan barang-barang yang rosak. Kami juga harap pihak swasta dapat membantu di sini,” kata Joey.
Tiada bekalan elektrik
Selepas sehari membersih, penduduk terpaksa bergelap kerana bekalan elektrik masih belum dipulihkan selepas banjir.
Ini juga menimbulkan masalah untuk pembersihan, kerana pam air elektrik tidak boleh digunakan untuk tolak keluar lumut dan lumpur, kata Joey.
“Guna air biasa sahaja tidak mencukupi. Cucian pembersih juga diperlukan,” tambahnya.

Beliau tidak kisah berapa hari beliau dan sukarelawan lain perlukan untuk membantu penduduk.
“Jika kami ada dana, kami akan terus datang sini. Kami tidak ditaja sesiapa atau agensi.”
Tambahnya penduduk memerlukan barangan asas untuk membaiki semula kediaman mereka.
“Saya telah merayu agar orang ramai menderma di Twitter. Orang ramai juga boleh tolong dengan berikan gas memasak, tilam dan keperluan asas lain.”
Kumpulan lain yang membantu penduduk ialah Seri Qiyam, sebuah pertubuhan kebajikan.
Pengasasnya Mohd Zulfadzli Abdul Halim, 38, berkata keadaan semakin berubah dengan lebih ramai sukarelawan yang datang.
“Keadaan semakin baik berbanding semalam. Bagaimanapun, keadaan di sini masih tidak berapa bagus.
“Walaupun kami daoat jet air tetapi kami masih tidak boleh guna sebab elektrik tidak ada.”

Kumpulan itu ada 30 sukarelawan hari ini, mengalu-alukan lebih ramai lagi pada hari-hari mendatang, terutamanya bagi membantu membersihkan rumah warga emas.
Zulfadzli berkata sukarelawan Seri Qiyam juga telah menyediakan dapur mini untuk sediakan makanan ringkas seperti ayam dan mee untuk penduduk dan sukarelawan.
“Kami ingin dapatkan makanan yang dibungkus tetapi lalu lintas sangat teruk untuk datang ke sini jadi kami putuskan untuk memasak.
“Kami sedang usaha untuk ada di sini sampai Ahad sebab kami ramal ramai orang akan datang tolong pada hujung minggu.”
“Kami nasihatkan orang ramai yang ingin datang membantu untuk berkongsi kereta supaya tidak menimbulkan kesesakan di sini.” – 22 Disember, 2021.
Komen