Rumah Subang Bestari dikosongkan, hampir runtuh akibat hujan lebat


Elill Easwaran

Dua buah rumah di Subang Bestari, Selangor kini dikosongkan selepas tanah mendap di situ menyebabkan ia senget, kelihatan hampir runtuh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Disember, 2021.

DUA buah rumah di Subang Bestari di Subang, Selangor telah dikosongkan akibat tanah mendap selepas hujan lebat selama 48 jam pada hujung minggu.

Pekerja binaan yang ditugaskan untuk kerja-kerja baik pulih di situ berkata kedua-dua rumah itu kini kosong.

“Semalam, masih ada orang. Hari ini semua orang sudah keluar.

“Air tidak naik di sini tetapi hujan berterusan sejak beberapa hari lepas menyebabkan rumah jadi seperti ini,” kata pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Lalit kepada The Malaysian Insight.

Salah satu rumah itu lebih teruk rosak, dengan bumbung hampir reban kerana tiang di anjung kecil hampir jatuh akibat pergerakan tanah.

Hujan lebat yang berterusan mengakibatkan banjir dahsyat pada hujung minggu di Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Di seluruh negara, kira-kira 70,000 orang telah kehilangan tempat tinggal, dengan Pahang dan Selangor mencatatkan jumlah pemindahan tertinggi.

Satu lagi hujan lebat awal pagi ini menyebabkan sebahagian lebuh raya di Bukit Jelutong dinaiki air semula, berhampiran susur keluar ke tol Shah Alam dari Lebuhraya Guthrie.

Hujan juga menyaksikan air naik semula di Taman Sri Muda di Shah Alam, yang dilanda banjir sejak hujung minggu. – 22 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen