Pintu air Sri Muda pulih, banjir surut lebih pantas, kata MB


Taman Sri Muda antara kawasan yang paling teruk terjejas ekoran hujan lebat sejak Jumaat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Disember, 2021.

PINTU air di Taman Sri Muda yang rosak sudahpun berjaya dipulihkan untuk menyalurkan air bagi membolehkan banjir surut, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Katanya kuasa elektrik dapat disalurkan semula untuk membuka pintu tersebut yang terhalang akibat kenderaan tersadai akibat banjir.

“Pintu air dapat beroperasi semula dengan bekalan tenaga dan generator TNB.

“Semalam (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan (Angkatan Tentera Malaysia) kerja keras sampai jam pagi alihkan kenderaa tersadai yang telah halang generator dibawa ke pintu air.

“ Dengan pintu air beroperasi proses penyurutan akan lebih pantas,” katanya di Twitter.

Terdahulu exco hal ehwal infrastruktur Izham Hashim menafikan pihak berkuasa sengaja lambat membuka pintu air tersebut.

Beliau dilaporkan berkata, salah satu komponen pintu tersebut bengkok akibat dihentam pelbagai objek sewaktu banjir buruk tersebut.

Ia susulan kemunculan rakaman video menunjukkan perbezaan paras air di kedua-dua bahagian aliran air di pintu berkenaan.

Taman Sri Muda antara kawasan yang paling teruk terjejas ekoran hujan lebat sejak Jumaat.

Sekurang-kurangnya 12 jasad ditemui setakat ini di sekitar kawasan tersebut selepas banjir mula surut dan 31 orang ditahan kerana didakwa memecahkan kedai.

Menurut kerajaan negeri jumlah mangsa banjir di Selangor kini susut kepada 29,024 orang di 192 pusat pemindahan. – 22 Disember, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen