3,140 kes baharu Covid-19 dilapor hari ini, kata KP kesihatan


Hanya 64 kes Covid-19 dilaporkan hari ini Kategori 3, 4 dan 5 manakala 3,076 kes lagi Kategori 1 dan 2. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2021.

JANGKITAN harian Covid-19 dalam negara kembali meningkat ke paras 3,000 apabila 3,140 kes baharu dicatatkan hari ini berbanding 2,589 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan mengenai situasi Covid-19 hari ini berkata daripada jumlah kes baharu itu, hanya 64 kes atau 2.0% adalah Kategori 3, 4 dan 5 manakala 3,076 kes lagi atau 98% adalah Kategori 1 dan 2.

Kategori 1 dan 2 merujuk kepada pesakit Covid-19 tidak bergejala serta bergejala ringan, manakala Kategori 3, 4 dan 5 pula ialah pesakit sama ada mengalami radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen atau alat bantuan pernafasan.

Bagi kes sembuh, Noor Hisham berkata 4,278 kes dicatatkan menjadikan keseluruhan kes pulih kini 2,642,469.

Manakala 353 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 189 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. 

Noor Hisham turut memaklumkan empat kluster baharu dikesan hari ini dengan jumlah kluster masih aktif adalah 247. 

Selain itu, beliau berkata nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) di Malaysia setakat semalam adalah 0.91. – Bernama, 21 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen