Anwar gesa tubuh jawatankuasa diraja dan Parlimen 


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim melawat mangsa banjir di Klang baru-baru ini. – Gambar Facebook, 21 Disember, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob mesti mengambil tindakan segera menubuhkan jawatankuasa diraja termasuk jawatankuasa Parlimen untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana, kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata pada masa sama, kerajaan perlu membantu rakyat membina semula kediaman mereka yang dilanda banjir dan tidak memandang remeh isu pemulihan pasca banjir.

“Saya kesal dengan sikap dan cara negara ini dipimpin tatkala rakyat berbilang kaum sedang dirundung malapetaka banjir setelah hujan lebat berterusan selama beberapa hari pada hujung minggu yang lalu. 

“Setakat hari ini, 17 mangsa telah dilaporkan maut di Selangor dan 8 mangsa di Pahang, manakala lebih 60,000 lagi kehilangan tempat tinggal tanpa ada tanda-tanda jelas berhubung keadaan rumah dan tahap kelangsungan hidup seusai banjir surut.”

“Kelemahan-kelemahan utama berhubung tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana kini terpampang jelas.

“Tubuhkan jawatankuasa diraja termasuk jawatankuasa Parlimen dalam menambahbaik tahap kesiapsiagaan bencana,” kata Anwar.

Anwar mengecam Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kerana bertindak perlahan dan gagal menyelaras  agensi kerajaan terlibat.

“Kelewatan dalam menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memungkinkan beberapa pegawai untuk bertindak dengan inisiatif sendiri dalam membantu warga yang terkesan.”

“Penyelerasan yang lemah antara pasukan sukarelawan dan angkatan tentera hanya menambah kekeliruan dan kekecewaan,” tambahnya.

Anwar turut mengkritik Ismail Sabri dengan berkata krisis banjir adalah mimpi ngeri bagi perdana menteri yang kerajaannya berbanggsa dengan kejayaan 100 harinya.

“Kegagalan demi kegagalan dalam mengurus bencana ini hanya menonjolkan tahap keupayaan sebenar kerajaan yang dikemudi beliau.”

“Kerajaan dan pimpinan yang gagal menonjolkan kebersamaan dengan rakyat sedari awal bencana ini, tidak akan mampu memberi keyakinan kepada kita semua bahawa mereka juga mampu melonjakkan negara ke arah pemulihan dari musibah ini, termasuk masalah wabak yang masih mengganas,” katanya.

Kerajaan persekutuan dan Selangor mendapat kecaman daripada orang ramai kerana kelewatan dan kekurangan penyelarasan dalam membantu mangsa banjir.

Hujan lebat yang berterusan mengakibatkan banjir buruk di lapan negeri dan wilayah di semenanjung pada hujung minggu – iaitu Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Sehingga malam semalam, lebih 61,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan, dengan Pahang dan Selangor mencatatkan jumlah pemindahan tertinggi.

Di Selangor sahaja 30,632 orang kehilangan tempat tinggal akibat banjir teruk. – 21 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen