Selangor beri pengecualian bil air kepada mangsa banjir


Elill Easwaran

MB Selangor Amirudin Shari semasa sidang media mengenai situasi banjir di Shah Alam, hari ini. – Gambar Afif Abd Halim, 21 Disember, 2021.

KERAJAAN Selangor akan memberikan pengecualian bil air selama sebulan di kawasan yang dilanda banjir, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

“Ini adalah sebahagian daripada peruntukan RM100 juta kerajaan negeri untuk usaha pemulihan pasca banjir,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Beliau menambah, terdapat juga moratorium selama dua bulan bagi pinjaman di bawah program Usahawan Hijrah Selangor.

Hujan lebat yang berterusan mengakibatkan banjir yang dahsyat di lapan negeri dan wilayah di semenanjung pada hujung minggu – iaitu Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Sehingga malam tadi, lebih 61,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan, dengan Pahang dan Selangor mencatatkan jumlah pemindahan tertinggi.

Di Selangor sahaja 30,632 orang hilang tempat tinggal akibat banjir buruk. – 21 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen