Hujan lebat tak dijangka halang pelan awal Selangor, kata MB


Elill Easwaran

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri sudah bersedia menghadapi musim hujan sejak bulan lepas namun berikutan hujan lebat yang tak dijangka segala persiapan untuk itu telah terjejas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Disember, 2021.

KERAJAAN Selangor sudah bersedia untuk menghadapi banjir namun hujan lebat yang luar biasa dalam tempoh 48 jam telah menjejaskan persiapannya, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau berkata mesyuarat peringkat daerah untuk memulakan persiapan menghadapi musim hujan telah diadakan pada November. 

Amirudin berkata, kerajaan negeri telah merangka pelan situasi di mana taburan hujan antara 60mm hingga 100mmm.

“Hujan yang dijangka di Selangor menyebabkan pihak berkuasa negeri dan persekutuan tidak berjaga-jaga dan tidak bersedia,” katanya dalam sidang media hari ini, menafikan yang negeri itu tidak merancang untuk menghadapi banjir.

Bagaimanapun, dalam tempoh 48 jam itu, taburan hujan adalah 400mm yang mana purata hujan yang lebih tinggi untuk November 2021 ialah 250-370mm, dan 200-300mm untuk Disember tetapi dalam sehari bacaannya hampir 400mm.

Beliau mengakui taburan hujan yang tinggi menyebabkan kerajaan negeri tidak bersedia, selain kurangnya penyelarasan pada peringkat awal.

“Jentera yang kami ada boleh menampung taburan hujan kira-kira 100mm.

“Tetapi jangan hendak salahkan sesiapa sekarang ini, sebaliknya kita perlu cari dan selamatkan mangsa,” katanya sambil menyatakan Selangor kini bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir.

Hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan banjir besar di lapan negeri dan wilayah di semenanjung pada hujung minggu iaitu Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Setakat malam tadi, lebih 61,000 mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, dengan Pahang dan Selangor mencatatkan jumlah mamngsa tertinggi.

Di Selangor sahaja 30,632 orang telah hilang tempat tinggal akibat hujan lebat. – 21 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen