SEBANYAK 17 mayat ditemui di kawasan banjir di sekitar Selangor kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari .
Beliau berkata 10 di Klang, 3 di Hulu Langat dan 4 di Sepang.
Amirudin berkata pihak berkuasa masih mengenal pasti punca kematian dan ia akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Sebahagian daripada mereka yang meninggal dunia bukan sahaja mangsa tetapi ada sukarelawan juga,” katanya pada sidang media selama sejam hari ini.
Memandangkan seorang daripada mangsa yang terkorban merupakan sukarelawan, beliau menasihatkan para sukarelawan supaya berhati-hati sebelum memasuki kawasan berisiko.
Beliau menambah bantuan RM10,000 akan diberikan kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.
“Dalam masa yang sama, bantuan RM1,000 akan diberikan kepada setiap keluarga yang terjejas akibat banjir.
“Bantuan RM1,000 ini bukan sahaja untuk mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), malah mereka yang tinggal di rumah sendiri, tinggal di rumah saudara atau di PPS yang tidak berdaftar.
“Ini bermakna mereka yang terjejas banjir layak menerima bantuan ini,” katanya.
Amirudin turut mengumumkan pelancaran Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit bagi memudahkan individu, syarikat swasta, perbadanan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta mana-mana individu yang ingin membantu dalam proses pemulihan banjir di negeri ini.
“Sebagai komitmen awal kepada dana ini, saya akan menyumbang sebulan gaji ke dalam tabung ini,” katanya. – 21 Disember, 2021.
Komen