Banjir bukan masa bermain politik, kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan parti politik supaya tidak mempolitikkan bencana banjir yang melanda negara pada hujung minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2021.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan parti politik supaya tidak mempolitikkan bencana banjir yang melanda negara pada hujung minggu lalu.

Pengerusi Pejuang itu berkata membantu golongan yang memerlukan adalah tujuan kemanusiaan dan bantuan itu harus dihulurkan kepada semua orang.

“Membantu mereka yang di dalam kesusahan adalah salah satu tonggak utama perjuangan parti kita. 

“Ini bukan masa untuk berpolitik. Ini masa untuk kemanusiaan. Bantuan diberi tidak harus memilih sesiapa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Walaupun keadaan cuaca bertambah baik namun banjir di kebanyakan negeri yang terjejas akibat bencana itu sejak Sabtu masih tidak berubah.

Di Selangor ibu pejabat polis kontinjen negeri melaporkan jumlah jalan yang masih ditutup akibat banjir berkurangan daripada 73 kelmarin kepada 45 jalan setakat 4 pagi hari ini.

Di Terengganu jumlah mangsa banjir berjumlah 63 orang daripada 13 keluarga setakat pagi ini.

Sementara itu di Pahang sekretarit jawatankuasa pengurusan bencana negeri melaporkan seramai 37,793 mangsa banjir kini berteduh di 280 PPS di sembilan daerah.

Dr Mahathir mengingatkan ahli partinya supaya sentiasa merendah diri dan bertanggungjawab ketika menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Pemimpin berusia 96 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada anggota Pejuang yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat bersama tetapi saya yakin ahli-ahli Pejuang dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik.

“Saya juga ingin mohon supaya ahli-ahli Pejuang yang sedang memberi bantuan supaya sentiasa jaga disiplin, tidak sombong dan lakukan tanggungjawab ini dengan penuh sabar dan sopan.

“Perlu kita ingat bahawa hari ini orang lain memerlukan bantuan kita dan mungkin pada satu hari nanti kita pula perlu bantuan daripada orang lain,” katanya.

Dr Mahathir turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan kesihatannya selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

IJN sebelum ini berkata Dr Mahathir akan berada di pusat rawatan itu untuk beberapa hari lagi.

Pihak hospital juga berkata tiada pelawat dibenarkan kerana prosedur operasi standard Covid-19. – 21 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen