Pulau Pinang guna model pembiayaan sama seperti kerajaan BN, kata DAP


Looi Sue-Chern

KERAJAAN Pulau Pinang hari ini berkata model pembiayaan projek terowong dasar laut dan lebuh rayanya sama seperti yang digunakan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) untuk membiayai pembinaan Lebuhraya Jelutong.

Exco kerajaan negeri dan pengurusan lalu lintas Chow Kon Yeow berkata tanah yang ditebus guna dianugerahkan kepada kontraktor sebagai pembayaran secara berperingkat bagi kedua-dua projek.

Beliau berkata Gerakan mendakwa IJM, anak syarikat Jelutong Development Sdn Bhd membina Lebuhraya Jelutong (kini dinamakan semula sebagai Tun Dr Lim Chong Eu Expressway), hanya diberikan tanah untuk membangunkan Bandar Sri Pinang selepas menyempurnakan projek lebuh raya itu.

Dengan menggunakannya sebagai perbandingan, beliau berkata Gerakan mahu beliau menjawab sama ada kerajaan negeri sekarang memberi tanah kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd sebelum ia mula membina projek lebuh raya.

Consortium Zenith adalah kontraktor yang menjalankan projek terowong dasar laut dan lebuh raya.

“Kami adalah kerajaan negeri. Fasal (dalam perjanjian) adalah serupa. Tanah akan diasingkan untuk penebusgunaan mengikut progres kerja. Kelulusan akan dikeluarkan.

“Tidak seperti dikatakan oleh Gerakan, hanya selepas projek lebuh raya selesai, kebenaran diberikan kepada kontraktor untuk menebus guna tanah dan tanah itu akan diasingkan.

“Itu adalah kenyataan yang dibuat oleh seseorang tanpa menyelidik. Hanya hentam untuk membuat perbandingan bagi menunjukkan ia dilakukan dengan berbeza,” katanya pada sidang akhbar hari ini di Hotel Eastern & Oriental.

Chow berkata bagi individu sepertinya akan tahu Lebuh Raya Jelutong mengambil masa beberapa tahun untuk diselesaikan - dengan tinjauan dan kerja tanah bermula pada 1999, dua tahun selepas perjanjian projek ditandatangani.

Beliau berkata penebusgunaan tanah bermula dengan kerja tanah.

“Jadi apabila kerja tanah selesai, kontraktor menuntut pembayaran tanah, mengikut perjanjian.

“Pemberian tanah itu juga dibuat secara berperingkat-peringkat, sejajar dengan kerja yang disiapkan. Inilah yang kita lakukan sekarang,” katanya.

Chow berkata jika perjanjian projek dimeteraikan pada 1997, ia mengambil masa selama 18 tahun bagi keseluruhan projek lebuh raya itu selesai, dengan fasa terakhir - yang kini dinamakan Jalan Ahmad Nor – siap pada Januari 2015.

Selepas menyempurnakan lebuh raya, kontraktor menyambung kerja tebus guna tanah di tepi pantai di sebelah jalan raya, katanya. – 2 Februari, 2018.

Artikel penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen